KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan selepas terlibat kegiatan perlombongan wang digital secara haram di sebuah gudang di Port Klang Free Zone (PKFZ), Pulau Indah, Klang, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kedua-dua suspek ditahan melibatkan seorang lelaki tempatan dan warga asing berusia 20 hingga 31 tahun.
“Serbuan dilakukan sekitar jam 9.30 pagi, pasukan telah merampass kesemua peralatan yang digunakan untuk aktiviti perlombongan wang digital bagi membantu siasatan.
“Kita juga masih menyiasat berapa lama kegiatan perlombongan wang digital itu dijalankan di gudang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, serbuan dilakukan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis bantuan PKFZ.
“Susulan itu, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibuka kerana melakukan khianat dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 7 Julai bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















