KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah membantu membangunkan lebih 15,500 Rakan Usahawan melalui pelbagai program pembiayaan dan sokongan perniagaan sejak penubuhannya pada tahun 1991.
Pengerusi PUNB, Tan Sri Rastam Mohd. Isa berkata, jumlah pembiayaan yang telah diluluskan pula mencecah RM5.15 bilion meliputi pelbagai sektor perniagaan Bumiputera.
Menurut beliau, angka tersebut bukan sekadar ukuran kewangan tetapi mencerminkan perniagaan yang berkembang dan peluang pekerjaan yang diwujudkan.
“Selain itu, ia memberi keluarga yang mendapat manfaat dan syarikat Bumiputera yang semakin berupaya melonjak perniagaan ke tahap yang lebih maju dan mampan.
“Peranan PUNB kini semakin berkembang dengan skop pembiayaan dan sokongan yang tidak lagi hanya tertumpu kepada sektor peruncitan dan pengedaran konvensional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada SParK 2026: Transformasi Niaga anjuran PUNB yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di IOI City Mall di sini hari ini.

Rastam menambah, sebagai sebahagian daripada hala tuju jangka panjang di bawah Kerangka Strategik R30, PUNB menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Katanya, sasaran kelulusan pembiayaan ini bertujuan mempercepat pertumbuhan syarikat Bumiputera, meningkatkan keupayaan skala komersial, mencipta peluang pekerjaan berkualiti, serta mengukuhkan rantaian bekalan utama negara.
“Sasaran tersebut akan digerakkan melalui kemudahan pembiayaan sedia ada PUNB seperti PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA, selain penambahbaikan program yang lebih bersasar mengikut keperluan sebenar usahawan.
“Dalam usaha memperkukuh pembangunan usahawan berasaskan data, teknologi dan inovasi pula, PUNB turut mengadakan Pertukaran Memorandum Persefahaman dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
“Kerjasama ini akan membantu PUNB meningkatkan keupayaan dalam merancang dan menilai program pembangunan usahawan secara lebih tepat, selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dalam bidang teknologi, inovasi dan pengkomersialan,” katanya.
Sementara itu, Rastam berkata, SParK diwujudkan untuk mempertemukan ilmu, pasaran, jaringan dan peluang pertumbuhan kepada usahawan.
“SParK bukan sekadar acara tahunan. Ia adalah platform transformasi yang mencerminkan komitmen PUNB untuk membangunkan usahawan Bumiputera yang lebih tersusun, berdaya saing dan mampu bertahan untuk jangka panjang.
“Keutamaan PUNB adalah untuk memastikan lebih banyak syarikat Bumiputera dapat mengembangkan perniagaan, memperkukuh tatakelola dan membangun secara mampan selaras dengan agenda pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

















