KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menafikan dakwaan nisbah pelajar di universiti itu adalah lima pelajar antarabangsa bagi setiap satu pelajar tempatan (5:1), seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Sebaliknya, angka yang sebenar adalah sekitar 1:12 iaitu seorang pelajar antarabangsa bagi setiap 12 siswa tempatan.
Jelas universiti itu, data terkini Pusat Pengurusan Akademik dan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional menunjukkan hanya 3,917 orang pelajar prasiswazah antarabangsa berbanding keseluruhan 46,151 pelajar di UKM.
“Berdasarkan angka rasmi ini, pelajar prasiswazah antarabangsa hanya mewakili lapan peratus daripada keseluruhan populasi pelajar.
“Justeru, dakwaan nisbah 5:1 yang didakwa tersasar jauh daripada fakta sebenar iaitu sekitar 1:12.
“UKM memandang serius dakwaan ini dan ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat dalam video tersebut adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
UKM turut menegaskan bahawa, institusi itu sentiasa berpegang kepada matlamat penubuhannya untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa.
“Pengambilan pelajar antarabangsa tidak menjejaskan keutamaan universiti dalam menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar tempatan.
“Ia dilaksanakan secara terkawal, selari dengan seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu agenda pengantarabangsaan pendidikan negara,” tegasnya.
Sehubungan itu, UKM menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi universiti dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
“Kita memandang serius penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan yang boleh menjejaskan reputasi institusi.
“UKM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau maklumat tidak benar,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















