Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari

JOHOR BAHRU – Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari menjadikan kisah peperangan antara Pandava dan Kaurava dalam epik Mahabharata sebagai simbol perjuangan menegakkan kebenaran ketika menggariskan komitmen berterusan kerajaan Madani dalam memperkasa pendidikan, kebudayaan dan kebajikan masyarakat India.

Beliau yang memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkata, mesej yang terkandung dalam epik berusia ribuan tahun itu kekal relevan sehingga hari ini kerana mengingatkan nilai kebaikan, keadilan dan perpaduan akhirnya akan mengatasi kejahatan serta perpecahan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Kebudayaan India Harapan di Taman Tampoi Indah di sini malam tadi.

Menurut Amirudin, Mahabharata bukan sekadar karya sastera atau kisah peperangan, sebaliknya mengandungi pengajaran yang menjadi pedoman dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan mempertahankan nilai kebenaran.

Beliau berkata, perjuangan Pandava menentang Kaurava mengajar mempertahankan keadilan bukanlah jalan mudah, namun mereka yang berpegang teguh kepada prinsip dan kebenaran akhirnya akan memperoleh kemenangan.

“Kisah ini mengingatkan kita bahawa walaupun berdepan pelbagai cabaran, kebaikan akhirnya akan mengatasi kejahatan.

“Sebab itu kita mesti terus mempertahankan perpaduan, menghormati antara satu sama lain dan memastikan nilai keadilan sentiasa menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat,” ujarnya.

Pengundi India Dun sekitar hadir program malam tadi.

Mengimbau pengalamannya selama empat penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin berkata kawasan itu menjadi bukti pembangunan boleh dilaksanakan seiring dengan usaha memelihara warisan budaya dan keagamaan masyarakat India.

Katanya, sepanjang tempoh berkhidmat di kawasan berkenaan, pelbagai kemudahan awam di sekitar Batu Caves berjaya dipertingkatkan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung dan penganut Hindu yang hadir menjalankan ibadah.

Menurut beliau, usaha berterusan itu turut menyaksikan pertambahan aktiviti keagamaan dan kebudayaan yang dianjurkan saban tahun, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Batu Caves sebagai antara pusat keagamaan dan kebudayaan Hindu yang penting di negara ini.

“Apabila kemudahan dipertingkatkan, lebih ramai pengunjung hadir. Aktiviti keagamaan berkembang, program kebudayaan juga semakin bertambah. Ini membuktikan pembangunan dan pemeliharaan warisan boleh bergerak seiring tanpa menjejaskan identiti sesuatu komuniti,” katanya.

Beliau berkata pengalaman tersebut membuktikan pembangunan yang inklusif perlu mengambil kira keperluan setiap masyarakat, termasuk memastikan warisan budaya dan agama terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Sehubungan itu, Amirudin memberi jaminan Kerajaan Madani akan terus memberikan perhatian kepada masyarakat India menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi penekanan terhadap pendidikan, kebudayaan dan kebajikan.

Katanya, usaha memperkukuh peluang pendidikan, melahirkan lebih ramai golongan profesional, memelihara identiti budaya serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat India akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan.

Beliau menegaskan, komitmen ini bukan hanya ketika musim pilihan raya.

”Kita mahu masyarakat India terus maju dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kehidupan sosial, sambil memastikan budaya, bahasa dan warisan mereka terus dipelihara sebagai sebahagian daripada kekuatan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat pelbagai kaum di Johor agar terus mempertahankan semangat perpaduan dan saling menghormati kerana kepelbagaian budaya merupakan asas kepada keharmonian serta kemajuan Malaysia.

Katanya, selagi rakyat berpegang kepada nilai keadilan, kebersamaan dan saling menghormati seperti pengajaran yang dibawa menerusi kisah perjuangan Pandava, negara akan terus mampu membina masa depan yang lebih makmur dan inklusif untuk semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast