KUALA LUMPUR – Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip telah diluluskan tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel), menjadikan jumlah kelayakan penggunaan meningkat kepada 300 liter sebulan bermula bulan ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga 4 Julai lalu, kemudahan itu telah dinikmati lebih 174,000 pemilik kenderaan di Semenanjung Malaysia dan lebih 22,000 lagi di Sabah, Sarawak serta Labuan.
Menurutnya, penambahan kuota itu mengambil kira penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip, khususnya bagi tujuan perniagaan kecil dan sederhana serta pergerakan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami kenderaan diesel bukan sekadar digunakan untuk perjalanan harian, malah menjadi sumber mencari rezeki dan memenuhi keperluan keluarga.
“Sebab itu, kemudahan tambahan 100 liter ini disediakan bagi membantu pemilik pikap dan jip mengurus keperluan diesel bulanan mereka dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel oleh ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.
Katanya, penerima asal BUDI Diesel kini boleh memohon pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga terdekat melalui portal rasmi BUDI Madani, tertakluk kepada syarat dan proses pengesahan yang ditetapkan.
Sebagai alternatif, pengguna sebenar juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), susulan pelaksanaan pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai lalu.
Menurut Amir Hamzah, penambahbaikan itu membuktikan pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat bagi memastikan subsidi sampai kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan.
Pemilik pikap dan jip diesel yang ingin memohon penambahan 100 liter sebulan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel, boleh berbuat demikian melalui portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my.
Sehingga 4 Julai, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan telah diterima menerusi portal tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pelaksanaan BUDI Diesel menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak.
Menerusi kenyataan itu, MOF berkata, pelaksanaan BUDI Diesel menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan bagi memastikan subsidi diesel disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Sejak pelaksanaan akses awal BUDI Diesel pada 27 Jun 2026 hingga 4 Julai 2026, lebih 336,000 transaksi diesel telah direkodkan.
Ini melibatkan pembelian 12.6 juta liter diesel bersubsidi, dengan lebih RM23 juta subsidi ditanggung oleh kerajaan dan jualan ini merangkumi pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter semasa akses awal dan RM2.10 seliter sejak pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai 2026.
“Subsidi bersasar merupakan manfaat kerajaan untuk rakyat Malaysia yang layak. Pada masa yang sama, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan bantuan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak,” kata Amir Hamzah.
“Pelaksanaan BUDI Diesel bukan bertujuan menafikan bantuan kepada rakyat yang layak, sebaliknya memastikan subsidi kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar sambil menutup ruang ketirisan dan penyeludupan yang telah merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun,” ujar beliau sambal menyatakan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan meneliti maklum balas rakyat serta industri bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan dapat terus dikekang. – MalaysiaGazette
















