Penduduk Zon 21 Bandar Puncak Alam menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor berhubung isu jalan raya yang didakwa masih gagal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 2020, di Istana Kayangan, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 Julai 2026.

SHAH ALAM – Penduduk Zon 21, Puncak Alam merayu campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mendakwa projek menaik taraf Jalan Meru-Bukit Cherakah yang berlarutan sejak 2019 masih gagal disiapkan sehingga menjejaskan keselamatan serta kehidupan harian ribuan penduduk.

Pengerusi Alam Sutera, Puncak Alam, Fazlifah Awang berkata, kelewatan projek itu menyebabkan kesesakan trafik luar biasa apabila perjalanan kira-kira dua kilometer boleh mengambil masa lebih sejam pada waktu puncak.

Menurutnya, keadaan jalan yang gelap, kekurangan lampu jalan, papan tanda serta kerja pembinaan yang belum siap turut mengakibatkan kemalangan maut dan kecederaan serius.

“Sudah ramai yang terlibat dalam kemalangan. Ada yang meninggal dunia, patah kaki dan patah tulang belakang. Tetapi sehingga hari ini kami tidak nampak sebarang tindakan yang benar-benar menyelesaikan masalah,” katanya kepada media, hari ini.

Fazlifah ditemui media selepas menyerahkan memorandum berhubung jalan itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di pintu Istana Kayangan, hari ini.

Beliau berkata, lebih 22,000 penduduk di Zon 21 Puncak Alam yang merangkumi 16 taman perumahan terjejas, selain keseluruhan penduduk kawasan itu yang dianggarkan mencecah hampir 300,000 orang.

Pengerusi Alam Sutera Puncak Alam, Fazlifah Awang bercakap pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor berhubung isu jalan raya yang didakwa masih gagal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 2020, di Istana Kayangan, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 Julai 2026.

Katanya, kelewatan projek itu turut meningkatkan kos sara hidup penduduk apabila van sekolah mengenakan caj lebih tinggi kerana terpaksa membuat pusingan jauh, selain menyukarkan pergerakan kenderaan kecemasan termasuk bomba.

“Dulu caj van sekolah sekitar RM120, sekarang naik kepada RM200 kerana mereka terpaksa berpusing jauh. Kalau satu keluarga ada tiga anak, kosnya mencecah RM600 sebulan.

“Kami juga berdepan kerosakan tayar, rim dan kenderaan akibat keadaan jalan yang tidak sempurna,” katanya.

Fazlifah mendakwa walaupun beberapa projek perumahan dan komersial di kawasan berkenaan telah siap serta diserahkan kepada pembeli, projek jalan utama itu masih jauh daripada siap.

Malah, beliau menganggarkan kemajuan keseluruhan projek ketika ini hanya sekitar 30 peratus dengan kerja pembinaan jambatan serta infrastruktur utama masih belum diselesaikan.

Sehubungan itu, beliau berharap campur tangan Sultan Selangor dapat memberi perhatian terhadap masalah berkenaan, sekali gus memastikan semua pihak berkaitan mempercepatkan penyiapan projek yang sekian lama tertangguh.

Penduduk Zon 21 Bandar Puncak Alam menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor berhubung isu jalan raya yang didakwa masih gagal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 2020, di Istana Kayangan, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 Julai 2026.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, memorandum kepada Sultan Selangor disifatkan sebagai usaha terakhir selepas pelbagai saluran rasmi termasuk aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat daerah dan agensi berkaitan gagal menghasilkan penyelesaian.

“Dah lebih tujuh tahun, tetapi jalan ini masih belum siap. Kami sudah buat pelbagai aduan kepada JKR, pejabat daerah, SISPAA dan pihak berkaitan, namun tiada penyelesaian.

“Jadi kami merasakan sudah tiba masanya membawa suara rakyat kepada Sultan Selangor sebagai saluran terakhir. Kami berharap Tuanku dapat melihat sendiri keadaan jalan ini dan membantu mempercepatkan penyelesaiannya,” katanya.

Mohd Shaid mendakwa projek yang melibatkan kerjasama pemaju LBS dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) itu sebelum ini dijanjikan siap pada 2022 selepas satu mesyuarat bersama JKR pada penghujung 2020, namun sehingga kini masih belum menunjukkan kemajuan yang memuaskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ni si Mazlee duk sibuk psl di Johor? Kat Selangor kerajaan negeri PH..PMX pun PH..jalan berlubang pun tak settle..lagi ada hati kritik MB Johor..

Comments are closed.