Logo KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi.

 

KUALA LUMPUR – Seramai 159,138 atau 12.6 peratus pelajar antarabangsa daripada lebih 180 negara kini mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia, sekali gus membuktikan negara terus menjadi destinasi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, sehingga 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta ialah 1.26 juta orang.

Bagi program prasiswazah, pelajar tempatan merangkumi 502,212 orang (96.56 peratus), manakala pelajar antarabangsa hanya 17,893 orang (3.44 peratus).

Sementara itu, bagi program pascasiswazah, pelajar tempatan berjumlah 75,929 orang (66.26 peratus) dan pelajar antarabangsa 38,672 orang (33.74 peratus).

“Data ini dengan jelas menunjukkan majoriti pelajar antarabangsa berada di peringkat pascasiswazah, bukannya bersaing mendapatkan tempat bersama lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma yang memohon ke program prasiswazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lantaran itu, KPT menafikan dakwaan bahawa kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam mengurangkan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas dan mengelirukan.

KPT berkata, dakwaan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara dan boleh menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut kementerian itu, agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007 bagi menjadikan Malaysia hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Mengulas dakwaan pelajar antarabangsa di lima universiti penyelidikan utama merampas tempat pelajar tempatan, KPT menjelaskan daripada 186,824 enrolmen di Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), seramai 145,727 orang (78 peratus) adalah pelajar tempatan.

Daripada 41,097 pelajar antarabangsa itu pula seramai 28,135 orang (68.5%) berada di peringkat pascasiswazah dan 12,962 orang (31.5%) prasiswazah, yang mana kemasukan melalui laluan terbuka yang dilaksanakan secara ‘over and above’ iaitu kuota arus perdana (UPUOnline) dipenuhi terlebih dahulu sebelum saluran tambahan dibuka.

“Keadaan ini selaras dengan fungsi Universiti Penyelidikan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, inovasi, penerbitan ilmiah dan jaringan akademik antarabangsa. Kehadiran pelajar antarabangsa di peringkat ini adalah satu keperluan strategik bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara,” jelas KPT lagi.

KPT berkata, pelajar antarabangsa membayar yuran penuh tanpa subsidi kerajaan, mematuhi syarat akademik yang ketat dan menyumbang kepada pengukuhan kewangan universiti.

Mereka juga membantu meningkatkan kemudahan pembelajaran dan penyelidikan, memperluas kerjasama penyelidikan antarabangsa, penerbitan berimpak tinggi serta kedudukan universiti dalam penarafan dunia.

Selain itu, kehadiran mereka mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan memberi pengalaman global kepada mahasiswa tempatan tanpa perlu meninggalkan negara.

KPT turut memaklumkan seramai 32,549 pelajar dari China sedang mengikuti pengajian di universiti awam Malaysia.

Menurut kementerian itu, jumlah besar pelajar China turut direkodkan di negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Kanada, menjadikan perkara itu sebagai amalan biasa dalam sistem pendidikan tinggi global.

“Ia adalah satu perkara biasa bagi negara berpopulasi seramai 1.4 bilion orang. China sememangnya menjadi sumber utama pelajar antarabangsa di peringkat global,” jelanya.

KPT turut menegaskan, kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Madani.

Jelasnya, Malaysia akan terus melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara strategik dan bertanggungjawab bagi memastikan institusi pendidikan tinggi negara kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, diiktiraf dunia serta menjadi destinasi pendidikan pilihan global, tanpa sesekali mengorbankan hak, peluang dan masa depan pelajar Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast