Lelaki Bangladesh yang ditahan JIM selepas didakwa memiliki dua pasport.

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Bangladesh yang didakwa memegang dua pasport yang didakwa Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan pasport Bangladesh telah ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Penahanannya dibuat selepas tular hantaran yang mendakwa dia memiliki dua passport hingga mencetuskan pelbagai reaksi serta gesaan orang ramai supaya siasatan segera dijalankan.

Susulan itu, JIM Negeri Pahang bersama Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pahang telah menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengesan individu berkenaan dan menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan dan tindakan operasi yang dijalankan, pasukan petugas dengan kekuatan enam pegawai imigresen telah menyerbu sebuah kontena di sekitar Jalan Kuantan Bandar Damansara, Kuantan, Pahang pada jam 6.30 petang, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemukan seorang lelaki Bangladesh berada di dalam kontena tersebut. Pemeriksaan lanjut dan penggeledahan yang dijalankan di dalam kontena telah menemukan dua naskhah PMA yang telah tamat tempoh sah laku masing-masing pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022 serta senaskhah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara tempatan.

“Lelaki warganegara asing tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan bagi membantu siasatan.

“Pihak jabatan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar kedua-dua naskhah PMA dan Buku Perkhidmatan Pelaut tersebut, di KMJIM_05072026 samping menyiasat kebarangkalian wujud unsur pemilikan tanpa kebenaran, penyalahgunaan dokumen perjalanan atau apa-apa kesalahan lain di bawah undangundang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa setiap dakwaan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dokumen perjalanan Malaysia dipandang serius.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

Sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast