Mohd Yusri Hassan Basri

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak berkastam di Sarawak menerusi Op Taring Alpha 2 dengan rampasan bernilai kira-kira RM26.62 juta.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan pada 3 Julai lalu kira-kira jam 2.15 petang oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan serta Majlis Perbandaran Padawan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata,
serbuan ke atas sebuah premis di daerah Kuching membawa kepada penahanan tiga lelaki warga Indonesia berusia sekitar 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan minuman keras tidak berkastam.

Hasil pemeriksaan menemukan lebih 78,000 kotak pelbagai jenis minuman keras.

Turut dirampas tiga kontena yang dipenuhi minuman keras, dua treler serta dua forklift jenis Toyota yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan menyimpan barangan tidak bercukai kastam.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM50,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda jumlah duti kastam atau RM500,000, atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menurut beliau, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan tidak berkastam yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah berpotensi mencetuskan jenayah rentas sempadan serta mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan rokok dan minuman keras, penyelewengan barangan kawalan serta bersubsidi dan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kepentingan negara.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 4 Julai tahun ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 199 serbuan di seluruh negara yang membawa kepada penahanan 374 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan kawalan dan bersubsidi, hidupan liar serta sisa elektronik (e-waste).

Dalam tempoh sama, jumlah keseluruhan nilai rampasan direkodkan dianggarkan mencecah RM258.52 juta.

Mohd Yusri berkata, pihaknya akan terus memperhebat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah terancang, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah demi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast