Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika gimik pelepasan (flag off) pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 Julai 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika gimik pelepasan (flag off) pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 Julai 2026.

KUALA LUMPUR – Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional disifatkan mampu membantu pemandu teksi memperbaharui kenderaan mereka pada kos lebih mampu milik sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, industri teksi telah lama menjadi sebahagian penting daripada sistem pengangkutan awam negara meskipun pilihan mobiliti kini semakin berkembang.

Menurut beliau, program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Jumaat lalu membuka peluang kepada pemandu teksi mendapatkan kenderaan nasional keluaran Proton dengan sokongan DRB-HICOM serta institusi kewangan.

“Program ini memberi peluang kepada pemandu teksi memperbaharui armada mereka menggunakan kenderaan nasional daripada Proton pada kos yang lebih mampu milik, dengan sokongan DRB-HICOM dan institusi kewangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hannah berkata, bagi seorang pemandu teksi, kenderaan bukan sekadar alat pengangkutan, sebaliknya menjadi sumber utama mencari rezeki.

Menurutnya, penggunaan kenderaan yang lebih baharu dan dipercayai membolehkan pemandu memberi tumpuan kepada pekerjaan tanpa dibebani kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Pada masa yang sama, rakyat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Ketika meluncurkan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional, Anwar berharap ia melonjakkan pendapatan pemandu teksi mencecah RM7,000 sebulan dengan kerjasama pengurangan kos pembaikan, servis, perkhidmatan serta kos pinjaman yang dirancangkan.

Menurut Anwar, antara inisiatif yang dirancang di bawah program itu adalah pinjaman mudah, penyediaan kereta baharu iaitu Proton S70 dan permit di atas nama pemandu.

Katanya, kerajaan membuat satu keputusan dasar penting iaitu menetapkan permit teksi diberikan atas nama pemandu secara kekal dan tidak boleh dipindah milik bagi menjaga dan menjamin kepentingan keluarga golongan tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast