Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon BN N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani bergambar bersama masyarakat DUN Kempas ketika hadir pada Program Minum Petang dan Ramah Mesra Bersama Pengundi DUN Kempas di Restoran Zaidi Roti Canai, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diharap membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri walaupun kemungkinan wujud percaturan politik terhadap pengundi awal esok.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, anggota keselamatan tetap mempunyai kebebasan memilih meskipun Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini diterajui seorang menteri daripada Pakatan Harapan (PH).

“Pengalaman lalu menunjukkan sokongan anggota keselamatan tidak semestinya dipengaruhi oleh parti yang memegang portfolio tertentu dalam kerajaan.

“Walaupun KDN dan Kementerian Pertahanan sebelum ini diterajui menteri bukan daripada BN, anggota polis dan tentera tetap membuat keputusan mereka sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap ketika ditemui wartawan ketika hadir pada Program Minum Petang dan Ramah Mesra Bersama Pengundi DUN Kempas di Restoran Zaidi Roti Canai, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

Terdahulu beliau hadir ke Program Minum Petang calon BN N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani di Zaidi Roti Canai, Taman Anggerik, Kempas petang tadi.

Mohamad yang mesra disapa Tok Mat berkata, setiap anggota keselamatan merupakan pengundi yang matang dan memahami kepentingan memilih kerajaan yang mampu menjamin kestabilan politik serta pembangunan negeri.

Sehubungan itu, Mohamad berharap pengundi awal akan terus memberikan sokongan kepada BN, sekali gus memastikan Johor kekal menikmati kestabilan politik yang menjadi faktor utama kemasukan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya harap mereka melihat kepentingan negeri Johor dan bersama-sama rakyat Johor membuat pilihan yang terbaik demi kestabilan dan masa depan negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast