Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyanggah kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan lebih awal kerana terdapat pihak mahu kembali berkuasa bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf mempersoalkan kaitan antara pilihan raya dengan pembebasan seseorang sambil menegaskan, perkara itu tidak ditentukan melalui kemenangan dalam pilihan raya.

“Berkempenlah secara berhemah. Sejak bila pembebasan seseorang ditentukan melalui pilihan raya?

“Datuk Seri Najib hanya boleh bebas dengan kuasa mutlak pengampunan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya hari ini.

Terdahulu, ketika berkempen di Tangkak, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa, PRN Johor tidak sepatutnya diadakan ketika ini namun Barisan Nasional (BN) memilih untuk mengadakannya kerana yakin mampu kembali menguasai pentadbiran negeri.

Menurut Anwar, PH terpaksa berdepan pilihan raya itu bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan serta meneruskan kerjasama antara kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri turut mendakwa terdapat pihak yang mahu kembali berkuasa dengan tujuan membebaskan Najib. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast