SEGAMAT – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Pemanis, Dr. Ariventharan Anandan mempertaruhkan manifesto lima teras yang disifatkan sebagai pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu kehidupan rakyat, sekali gus mencuri perhatian pengundi menjelang hari pengundian PRN Johor.
Calon daripada MIPP itu mengangkat slogan “Doktor Untuk Rakyat, Berkhidmat Dengan Hati”, menawarkan pendekatan berteraskan kebajikan, pembangunan dan khidmat terus kepada rakyat dengan sasaran menjadikan Pemanis sebuah kawasan yang lebih maju, sejahtera dan inklusif.
“Antara tawaran saya sebagai colon nombor 2 ialah memperkasa ekonomi rakyat menerusi sokongan kepada usahawan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia.
“Sebagai seorang doktor, aspek kesihatan menjadi antara tunjang utama manifestonya. katanya kepada MalaysiaGazette.
Malah anak jati Johor itu turut menjanjikan usaha menaik taraf infrastruktur asas termasuk jalan raya, lampu jalan, longkang serta liputan internet dan telekomunikasi yang lebih baik, isu yang sering menjadi rungutan penduduk di beberapa kawasan dalam DUN Pemanis.
Mesra dengan panggilan Dr. Arvind, beliau berjanji memperkenalkan program pemeriksaan kesihatan percuma secara berkala, klinik bergerak ke kampung dan FELDA serta membantu golongan warga emas, OKU dan keluarga B40 mendapatkan rawatan dengan lebih mudah.
Selain itu manifesto itu memberi penekanan kepada pembangunan generasi muda melalui kelas tuisyen, bimbingan akademik, latihan TVET, peluang pekerjaan dan sokongan biasiswa bagi melahirkan belia yang lebih berdaya saing.
Bagi memastikan setiap suara rakyat didengari, Dr. Arvind turut berikrar mewujudkan pusat khidmat rakyat yang aktif, mengadakan sesi bertemu penduduk setiap minggu serta menyelesaikan aduan secara lebih pantas, telus dan berkesan.
“Ramai yang saya temui mengadu kos hidup meningkat, peluang pekerjaan masih terhad dan pendapatan pula tidak banyak berubah.
“Apabila keadaan ini berlaku, kesihatan sering menjadi perkara terakhir yang diberi perhatian kerana ramai bimbang dengan kos rawatan.
“Sebab itu saya mahu memastikan rakyat bukan sahaja hidup lebih sihat, tetapi mempunyai akses kepada rawatan tanpa perlu terlalu memikirkan soal kemampuan kewangan,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, saingan tiga penjuru di DUN Pemanis di antara penyadangnya, calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan serta calon PH, Jalex Lee En Xiang.
Terdahulu PRN Johor 2022, calon BN, Anuar menang dengan 8,678 undi (50.33%) dan majoriti 4,187 undi.
Calon PKR, Yoong Thau meraih 4,491 undi (26.05%), diikuti calon PN, Uzzair Ismail dengan 3,825 undi (22.19%) manakala calon Pejuang, Azita Amrin memperoleh 247 undi (1.43%) di DUN Pemanis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada esok, 7 Julai selepas proses penamaan calon selesai 27 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















