KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, bercadang menggunakan kad pengenalan baharu dengan ciri terkini iaitu kod QR sebagai alternatif penggunaan Aplikasi Mobile Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak (Mobile eCOSS).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, cadangan itu bertujuan untuk membantu mengatasi masalah capaian internet bagi pengoperasian aplikasi berkenaan.
Menurut beliau, peranti sedia ada hanya digunakan untuk penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekali gus tidak sesuai digunakan oleh rakyat Malaysia untuk membeli minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) di pasaran.
“Kita memerlukan satu peranti yang boleh membaca MyKad dan peranti sekarang hanya kepada penerima SARA dan STR sahaja, jadi ia tidak boleh digunakan oleh orang ramai yang tidak terima minyak masak.
“KPDN bercadang menggunakan kad pengenalan baharu iaitu ada kod QR yang boleh kenal pasti pembeli minyak masak peket ini.
“Libat urus berterusan kementerian denganJabatan Pendaftaran Negara serta pihak peruncit untuk melaksanakannya dan ia dalam proses lakukannya,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu mengenai status penggunaan MYKad bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi, selain penggunaan aplikasi eCOSS.
Mengulas lanjut, Fuziah menjelaskan, warga emas yang tidak memiliki peranti atau berada di luar bandar dibenarkan untuk membeli bahan asas itu secara manual.
Ujarnya lagi, seramai 5.261 juta rakyat Malaysia telah berdaftar menggunakan aplikasi mudah alih eCOSS setakat 3 Julai lalu.
Melalui sistem berkenaan, Fuziah memaklumkan purata sebanyak 18 juta transaksi pembelian minyak masak peket bersubsidi direkodkan setiap bulan. – MalaysiaGazette
















