KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan aliran keluar bersih bagi minggu kelapan berturut-turut dengan jumlah jualan bersih sebanyak RM391.1 juta, minggu lalu.
MBSB Research berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan.
Menurutnya, aliran keluar bersih tertinggi direkodkan pada Selasa (RM183.0 juta), diikuti Khamis (RM144.9 juta) dan Rabu (RM130.3 juta).
Aliran masuk terbesar pula dicatatkan pada Isnin (RM55.4 juta), diikuti Jumaat (RM11.7 juta).
Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi daripada pelabur institusi asing ialah teknologi (RM41.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM26.0 juta) serta pembinaan (RM22.2 juta).
Sebaliknya, perkhidmatan kewangan (RM252.2 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM60.0 juta) serta penjagaan kesihatan (RM59.3 juta) merekodkan aliran keluar bersih terbesar.
Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi pula meneruskan momentum pembelian bersih untuk minggu ke-12 berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM474.6 juta.
Sementara itu, pelabur runcit kembali menjadi penjual bersih selepas mencatatkan pembelian bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM83.5 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan merentas semua kategori pelabur, iaitu pelabur runcit susut 12.7 peratus, institusi tempatan menurun 23.4 peratus, manakala institusi asing berkurangan 5.9 peratus. – MalaysiaGazette
















