Sebahagian daripada 198 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

JOHOR BAHRU – Seramai 198 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa memulakan proses pengundian awal dalam suasana tenang dan terkawal di Balai Polis Bandar Dato Onn hari ini.

Sejak pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi, anggota polis hadir secara berperingkat bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing manakala petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan proses pengundian dengan lancar.

Turut hadir meninjau proses pengundian ialah calon-calon yang bertanding di DUN Puteri Wangsa.

Calon MUDA, Rashifa Aljunied, antara yang terawal tiba di pusat mengundi, diikuti calon Bebas, Wang Wee Siong, sebelum disusuli calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik namun kelibat calon Bersama tidak kelihatan ketika artikel ditulis.

Cuaca yang pada mulanya baik bertukar mendung sebelum hujan mula turun sekitar pukul 9.30 pagi dan semakin lebat menjelang lewat pagi.

Proses pengundian awal dalam suasana tenang dan terkawal di Balai Polis Bandar Dato Onn, hari ini.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan kelancaran proses pengundian apabila anggota polis terus hadir mengikut giliran masing-masing.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati suasana di pusat pengundian kekal terkawal sepanjang pagi berikutan jumlah pengundi yang tidak begitu ramai berbanding beberapa pusat pengundian awal lain di Johor.

Rashifa bersyukur proses pengundian awal berjalan lancar selain gembira melihat anggota polis dan petugas SPR melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komitmen.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya gembira melihat anggota polis dan petugas SPR menjalankan tugas masing-masing dengan baik.

“Ramai juga sudah keluar mengundi sejak pukul 8 pagi. Saya sendiri tiba sekitar pukul 8.35 pagi dan ketika itu ramai yang sudah selesai mengundi,” katanya ketika ditemui di pekarangan lokasi di sini hari ini.

Menurut beliau, tumpuan kempen dalam tempoh berbaki sebelum hari pengundian adalah menggalakkan seramai mungkin pengundi pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

“Bagi saya, perkara paling penting sekarang ialah memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi. Sudah tentu saya berharap mereka mengundi MUDA tetapi yang lebih utama ialah mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” jelasnya.

Calon Muda dan BN Dun Puteri Wangsa bersalaman selepas tinjau undi awal pagi ini.

Sementara itu, Dr Maszlee berkata, semangat ditunjukkan anggota polis pada pengundian awal membuktikan komitmen tinggi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Beliau berkata, setakat kira-kira pukul 9.24 pagi, lebih 60 anggota telah selesai mengundi dan jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga pusat pengundian ditutup.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Anggota yang hadir dilihat bersemangat untuk mengundi dan saya difahamkan masih ada beberapa lagi yang akan datang.

“Malah saya dimaklumkan seorang anggota yang sedang menerima rawatan di hospital akibat kemalangan juga berhasrat hadir untuk mengundi. Itu menunjukkan semangat mereka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Chia Ling turut menyifatkan proses pengundian awal di Balai Polis Bandar Dato Onn berlangsung dengan baik dan berharap kelancaran itu dapat diteruskan sehingga tamat proses pengundian.

Beliau berkata, kehadiran anggota polis sejak awal pagi mencerminkan komitmen tinggi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat.

Pengundian awal di DUN Puteri Wangsa hari ini membabitkan anggota PDRM serta pasangan yang layak mengundi, dengan keseluruhan proses berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRN Johor kali ini membabitkan Dr Maszlee Malik mewakili Pakatan Harapan, Teow Chia Ling (BN), Rashifa Aljunied (MUDA), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.

PRN Johor menyaksikan pengundian awal berlangsung hari ini membabitkan anggota keselamatan dan pasangan mereka yang layak mengundi, manakala hari pengundian bagi pengundi biasa akan diadakan pada Sabtu, 11 Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast