Salah seorang daripada tiga individu yang ditahan SPRM disyaki kemuka dokumen palsu pembelian beras dan padi bernilai kira-kira RM20 juta. FOTO SPRM

KUALA LUMPUR – Tiga ahli keluarga dengan dua daripadanya pengarah syarikat, pengeluar serta pemproses padi dan beras ditahan selepas disyaki mengemukakan dokumen butir matan palsu bagi pembelian makanan ruji itu  berjumlah kira-kira RM20 juta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, dokumen itu dikemukakan kepada sebuah institusi kewangan pembangunan bagi dana Kemudahan Modal Kerja Perdagangan-I.

Menurut sumber, kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen palsu berkenaan kepada institusi kewangan pembangunan, namun tidak berlaku urusan pembelian padi dan beras tersebut.

“Seorang daripada tiga suspek itu telah ditahan reman lima hari sehingga 11 Julai selepas Majistret Eliana Ismail membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Alor Setar, Kedah pagi tadi.

“Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga pengurus operasi telah ditahan sekitar jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah,” kata sumber.

Tambah sumber, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek   telah bersubahat melakukan perbuatan itu  pada tahun 2025.

“Bagaimanapun, dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an merupakan pengarah syarikat telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast