Mohd Firuz Ibrahim

BANTING – Pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menjadi mangsa tikaman dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini masih trauma dan tidak mampu bercakap mengenai detik hitam yang dilaluinya semalam.

Bapanya, Mohd Firuz Ibrahim, 43, berasa sedih melihat keadan anak keduanya daripada tiga beradik itu yang tidak berhenti menangis dan menahan kesakitan yang dilalui akibat tikaman tersebut.

“Memang sedih, kita pun tak pernah pukul, tak pernah lukakan dia, kalau luka sikit pun sudah sakit, inikan luka kena tikam macam itu memang sedihlah.

“Macam saya kata, benda sudah jadi kita kena terima kena redha jugalah,” katanya pada pemberita dalam nada sebak di perkarangan Hospital Banting di sini hari ini.

Ditanya mengenai keperibadian mangsa, Mohd Firuz berkata, anaknya merupakan seorang pendiam malah tidak pernah keluar bersendirian dengan rakan lain dan hanya melakukan kerjanya sahaja.

“Saya ingin menegaskan bahawa anak saya bukan pembuli, dia hanya buat kerjanya sahaja. Kalau keluar rumah pun saya atau emak dia yang akan hantar, tak pernah keluar dengan kawan-kawan sekolahnya.

“Anak saya seorang pendiam, bila kita tanya baru dia jawablah, dia hanya akan minta (sesuatu) bila betul-betul perlu sahaja selagi tak ditanya tiadalah. Itulah dia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Firuz berkata, mereka sekeluarga tidak mengenai keluarga remaja yang menikam anaknya itu dan menyerahkan siasatan sepenuhnya berhubung kes terbabit kepada pihak polis.

Mengulas kandungan surat yang tular di media sosial mengaitkan nama anaknya dengan dakwaan isu buli, beliau mengakui ada mendengarnya namun tidak dapat memastikan kesahihannya.

“Nak cakap lebih-lebih pun saya tak nak… biarkan pihak polis buat kerja (siasatan),” ujarnya mengulas kandungan surat yang tular di media sosial mengaitkan nama anaknya dengan dakwaan isu buli.

Semalam media melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga ditikam rakan sekolahnya hingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, suspek berusia 15 tahun itu dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmarizal Radzi dilaporkan berkata, suspek telah ditahan semalam dan kini direman selama empat hari sehingga 10 Julai ini.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast