Kempen sepanjang PRN Johor memberikan peluang kepada Anna (kanan) mengenali pengundi dan rakyat, memahami nadi mereka.

JOHOR BAHRU – Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Anna Pravina Segaran bertekad menjadi suara masyarakat tempatan di sini.

Tekadnya ingin memberi tumpuan kepada usaha mendengar denyut nadi rakyat serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi penduduk.

Berusia 27 tahun, beliau berkata, keputusan menawarkan diri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar mengenai politik, sebaliknya lahir daripada keinginan untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat di kawasan yang menjadi tempat beliau membesar.

“Saya mahu menjadi seorang pemimpin yang sentiasa mendengar suara rakyat, memahami cabaran yang mereka hadapi dan mencari penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

“Saya datang daripada keluarga biasa, jadi saya memahami kesukaran yang dihadapi ramai masyarakat dalam kehidupan seharian. Sebab itu saya mahu menjadi suara mereka dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Anna Pravina percaya hubungan rapat antara wakil rakyat dan masyarakat amat penting bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara berkesan.

Beliau yang dilahirkan di Melaka bagaimanapun dibesarkan di Kota Iskandar dan menerima pendidikan awal di SJKT Kangkar Pulai sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Kangkar Pulai.

Dalam bidang kerjaya, Anna Pravina berkhidmat dalam sektor sumber manusia selain menjadi tenaga pengajar sambilan kerana percaya pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan generasi muda.

Anna Pravina berkata, sepanjang perjalanan politiknya, beliau sentiasa mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang menjadi sumber kekuatan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau berkata, bapanya, Segaran, bekerja sebagai juruteknik di Singapura manakala ibunya, Suguna, merupakan seorang suri rumah sementara adiknya, Pravin Raj bertugas sebagai cef selain menguruskan acara.

Katanya, sokongan mereka memberi keyakinan kepadanya untuk terus melangkah dalam dunia politik walaupun menyedari cabaran yang bakal dihadapi sebagai calon muda.

“Dengan sokongan dan kepercayaan rakyat, saya yakin kita mampu membawa perubahan serta membina masa depan yang lebih baik untuk Kota Iskandar bersama-sama,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast