Mohd Firuz Ibrahim,

BANTING – “Ya, saya sedia jumpa tapi tengok keadaan dulu macam mana”.

Itu yang dinyatakan Mohd Firuz Ibrahim, bapa kepada mangsa yang cedera ditikam di sebuah sekolah di sini ketika ditanya kesediaan untuk bertemu dengan ahli keluarga suspek.

Mohd Firuz turut memberitahu, keadaan anak keduanya daripada tiga beradik itu kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam semalam.

Bagaimanapun, anaknya masih dalam tempoh pemantauan kerana terdapat darah di bahagian paru-paru yang perlu dikeluarkan bagi proses pemulihan sepenuhnya.

Ditanya sama ada keluarganya bersedia untuk memaafkan suspek susulan detik hitam yang menimpa anaknya, Mohd Firuz berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa.

“Saya harap kejadian itu akan menjadi pengajaran, ambil tindakan yang sewajarnya lagi-lagi dekat sekolah dan perlu ada tapisan terlebih dahulu sebelum masuk sekolah terutama di hadapan pintu pagar baru boleh masuk jumpa cikgu,” jelasnya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga ditikam rakan sekolahnya hingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, suspek berusia 15 tahun itu dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmarizal Radzi dilaporkan berkata, suspek telah ditahan semalam dan kini direman selama empat hari sehingga 10 Julai ini.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak saya masih trauma, sampai sekarang masih menangis kesakitan – Bapa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast