JOHOR BAHRU – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di pusat mengundi awal Balai Polis Kempas hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang disifatkannya teratur sejak pusat mengundi dibuka.

Menurutnya, seramai 44 pengundi awal berdaftar di pusat berkenaan dan berharap kesemua mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebelum proses pengundian ditutup.
“Alhamdulillah, saya lihat proses pengundian berjalan lancar. Setakat ini tiada sebarang masalah dan saya berharap keadaan ini berterusan sehingga selesai.
“Ini kali pertama saya meninjau sendiri proses pengundian awal melibatkan anggota polis.
“Saya harap semua pengundi awal keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan pengundian awal PRN Johor N.47 Kempas di Balai Polis Kempas hari ini.

Sementara itu, calon Parti Bersatu Malaysia (PBM), Salamahafifi Mohd Yusnaieny turut memuji kelancaran proses yang dikendalikan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, setiap prosedur pengundian dilaksanakan secara teratur bermula daripada semakan kad pengenalan, pemeriksaan dakwat pilihan raya sehingga proses membuang undi.
“Prosesnya sangat lancar dan teliti. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas SPR kerana mengendalikan pengundian ini dengan baik.
“Di pusat ini terdapat 44 pengundi awal kerana seorang lagi telah mengundi secara pos,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membuat pilihan berdasarkan keyakinan terhadap calon yang mampu membawa suara dan kepentingan penduduk di kawasan Kempas.
Kerusi N.47 Kempas menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani, Muhammad Faezuddin mewakili PH dan Salamahafifi mewakili PBM. – MalaysiaGazette
















