JOHOR BAHRU – Sarjan Mejar Charudin Md Sari, 52, tidak pernah culas menunaikan tanggungjawab sebagai mengundi awal hari ini walaupun mengalami kecederaan ketika bertugas.
Beliau merupakan antara anggota polis terawal tiba di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di sini walaupun berjalan menggunakan tongkat disebabkan slip disc.
Charudin bersyukur kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan bilik khas di tingkat bawah pusat mengundi itu bagi mereka yang mengalami kesukaran untuk bergerak.
“Saya rasa lega apabila proses undi awal berjalan lancar, mudah untuk saya mengundi di bilik khas tanpa perlu menaiki tangga seperti pengundi yang lain.
“Sebagai warga Polis Diraja Malaysia, menjadi satu kewajipan buat diri saya untuk keluar mengundi dan saya tak pernah jadikan masalah kesihatan sebagai alasan tak berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikan selepas menunaikan undi awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di sini hari ini.
Charudin mengalami ‘slip disc’ ketika bertugas pada 2014 setelah terjatuh terlentang di bilik enjin bot peronda.
Katanya, sejak kemalangan itu, beliaumenjalani tiga pembedahan bagi membolehkannya terus berkhidmat dalam pasukan.
Sejak akhir-akhir ini, beliau juga mengalami simptom Parkinson apabila tangan kanannya kerap terketar-ketar.
“Walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, tapi saya tak pernah ‘miss’ keluar mengundi baik pada pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 2014.
“Insya-Allah, pada PRU-16 pun saya akan keluar mengundi walaupun terpaksa jalan bertongkat,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Hoo Chuan Huat hadir ke Markas PPM Wilayah Dua bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Dua calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling iaitu Pannir Selvam daripada Barisan Nasional dan Alan Tee dari daripada Pakatan Harapan datang berasingan bagi melihat kelancaran proses pengundian awal.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Charudin menunjukkan jarinya selepas selesai mengundi di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Johor Bahru, hari ini
















