LISBON – Dua wanita maut manakala 20 lagi cedera, termasuk tiga parah, selepas sebuah bas terbabit dalam kemalangan di pinggir ibu negara Portugal, Lisbon.
Ketua Polis kawasan barat Sintra, Francisco Alves berkata, kedua-dua mangsa yang maut sedang menunggu bas sebelum dirempuh kenderaan berkenaan.
“Kedua-dua mangsa sedang menunggu bas apabila mereka dilanggar,” katanya kepada media tempatan.
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan kedua-dua mangsa merupakan wanita berusia lingkungan 30 dan 40 tahun.
Pasukan penyelamat bersama pasukan sokongan psikologi telah dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa dan waris yang terjejas.
Sementara itu, Perdana Menteri Portugal, Luis Montenegro, berkata, beliau amat dukacita menerima berita mengenai kemalangan tersebut.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan semua mangsa yang cedera agar segera pulih.
“Kepada mereka yang cedera, saya mendoakan agar anda semua sembuh dengan cepat dan sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di platform X. – Agensi
















