Anggota tentera, Koperal Mohammad Nazrin Saharudin,34 bersama Isterinya, Nur Asyikin Maznan, 31, menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Dewan Mahkota, Kem Mahkota Kluang, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 07 JULAI 2026.

KLUANG – Nur Asyikin Maznan, 31, yang baru melahirkan anak lima hari lalu bersama suaminya, Koperal Mohammad Nazrin Saharudin, 34, tetap menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Dewan Mahkota, Kem Mahkota Kluang hari ini.

Mereka antara pengundi awal yang hadir untuk menunaikan tanggungjawab mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di dewan tersebut.

Menurut Nur Asyikin, walaupun masih dalam tempoh berpantang dan keadaan fizikal belum pulih sepenuhnya, dia tetap bertekad hadir kerana menganggap setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan negeri.

Anggota tentera, Koperal Mohammad Nazrin Saharudin, 34, membantu isterinya yang baru lima hari bersalin, Nur Asyikin Maznan, 31 menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kem Mahkota Kluang, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 07 JULAI 2026.

“Alhamdulillah, walaupun baru lima hari bersalin, saya tetap mahu keluar mengundi. Ini tanggungjawab sebagai rakyat dan peluang ini tidak boleh dipandang ringan.

“Suami banyak membantu sepanjang proses keluar mengundi hari ini, jadi saya rasa lebih yakin untuk hadir,” katanya ketika ditemui di Kem Mahkota di sini hari ini.

Dia yang berasal dari Muar itu berkata, kelahiran bayi mereka beberapa hari lalu tidak menghalang pasangan berkenaan menunaikan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan dan juga pengundi.

Anggota tentera, Koperal Mohammad Nazrin Saharudin, 34, membantu isterinya yang baru lima hari bersalin, Nur Asyikin Maznan, 31 menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kem Mahkota Kluang, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 07 JULAI 2026.

Sementara itu, Mohammad Nazrin memberi sokongan terhadap isterinya bagi memastikan urusan mengundi dapat dilakukan dengan selesa tanpa menjejaskan keadaan ibu dan bayi.

Meskipun sibuk dengan tugasan serta komitmen sebagai anggota keselamatan, dia bersyukur isterinya tetap bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negeri.

Sebagai pasangannya, dia hanya mahu memastikan isteri berada dalam keadaan selesa.

Dia bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan kami dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Nur Asyikin dan Mohammad Nazrin antara 4,085 anggota tentera dan pasangan yang mengundi awal PRN Johor hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast