Mohd Puad Zarkashi

RENGIT – Kehadiran Omar Hafidz untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN)  Johor di Senggarang tidak disambut dengan baik dan dikatakan hanya menyusahkan UMNO, demikian menurut bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, niat murni anaknya itu untuk bersama-sama berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) bukan sahaja diperlekeh malah terpaksa berhadapan dengan tuduhan berat daripada kepimpinan tempatan yang melihat dirinya sebagai ancaman.

Menurut Mohd Puad, menerusi hantaran Omar Hafidz di Facebook menceritakan pengalaman pahit berkenaan akibat imej politik beliau yang sudah berbeza.

“Omar Hafizd ada menulis di Facebooknya dengan hati nurani dia iaitu bila dia nak membantu kempen di Senggarang, ada dalam kalangan AJK Bahagian UMNO kata ‘kehadiran kamu hari ini menyusahkan kami’.

“Sebab dia melihat imej saya. Ada juga yang kata kenapa datang? Kamu ni spy ayah kamu ke?

“Macam mana anak muda nak menyertai UMNO?” soalnya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Beliau ditemui ketika hadir ke satu majlis makan malam tertutup di sini malanm tadi.

Selepas insiden itu, Mohd Puad ada menitipkan nasihat berdasarkan sebuah buku pengajaran buat anaknya.

“Saya beritahu dia tentang buku Pendakwah Bukan Penghukum. Pendakwah ini ialah mengajak orang, tapi kalau kerja kau menghukum, kau kafirlah, kau masuk nerakalah, kau murtadlah, siapa nak masuk Islam?

“Sama juga dengan UMNO, kerja engkau menghukum kesetiaan orang. Kau ni spy lah, kan, kau ni ikut ayah engkau.

“Ini satu contoh tak baik, walaupun sedih tapi dia akan terus setia dalam UMNO,” katanya.

Situasi itu, jelasnya, menunjukkan bagaimana segelintir pihak dalam parti terlalu cepat menghukum tanpa usul periksa.

Sebelum ini, Mohd Puad mengambil tindakan keluar UMNO selepas dikatakan merajuk kerana anaknya tidak dinamakan sebagai calon Barisan Nasional untuk DUN Rengit.

“Saya bukan keluar kerana anak saya tidak tercalon tetapi sistem dalam UMNO itu sendiri.

“Saya keluar UMNO ketika parti ini sedang kuat. Saya bukan macam Khairy Jamaludin atau Hishammudin (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein) yang masuk Kembali ketika parti ini sudah kuat.

“Saya ada pendirian,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai dirinya seorang yang kuat merajuk kerana anak tidak terplih, Mohd Puad menafikan perkara itu.

“Ini bukan parti anak beranak. Kami ada pendirian masing-masing. Jadi kalau dia nak terus dalam UMNO, saya tak menghalang, saya tidak mempengaruhi dia bahawa dia kena keluar ikut saya.

“Ini yang orang tak nampak, saya menyediakan dia sebagai pelapis dari segi kualiti kepimpinan, bukan taksub kepada ayah dia tetapi taksub kepada perjuangan.

“Sebab itu bila saya meninggalkan parti, dia kata dia tak ikut. Sebab dia masih yakin dengan perjuangan. Tak apalah,” katanya.

Mohd Puad kini mengambil keputusan untuk memberikan sokongan terbuka kepada calon Pakatan Harapan (PH). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast