Mohamad ketika bertemu jentera BN semasa mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai, Iskandar Puteri, malam ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri yang memperoleh mandat dan majoriti kukuh selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 nanti akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran dan pembangunan negeri.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana kerajaan negeri tidak akan dibelenggu pertelagahan politik nanti.

“Juga tidak ada perebutan kuasa dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Sembang Santai Bersama Pengundi DUN N49 Kota Iskandar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai di sini malam ini.

Yang turut hadir Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

Mengulas dapatan kajian Merdeka Center yang meramalkan BN berpotensi memperoleh kemenangan dengan majoriti selesa pada PRN Johor, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, semua kajian wajar dilihat sebagai petunjuk awal dan bukannya jaminan kemenangan.

“Banyak kajian, banyak pandangan dan banyak pendapat yang dibuat. Kita lihat semuanya dengan sebaik-baiknya. Kalau apa yang diramalkan itu benar-benar berlaku pada hari pengundian nanti, Alhamdulillah.

“Yang penting, rakyat Johor mesti memilih sebuah kerajaan yang mantap, stabil dan mempunyai majoriti yang selesa supaya dapat mentadbir negeri ini dengan berkesan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya yang mesra dipanggil sebagai Tok Mat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast