Mohamad Najib (tengah) ketika menemui masyarakat Cina di kawasan Parit Yaani, Batu Pahat.

BATU PAHAT – “Nak tahu kritikal atau tidak, kita tunggu 11 Julai ini, kami yakin sokongan akan menyebelahi BN (Barisan Nasional) apatah lagi dengan kempen serta kerja keras sejak empat tahun lalu dilaksanakan tanpa henti”.

Demikian kata calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri berkenaan perkembangan sokongan terhadapnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Kerusi DUN tersebut dianggap kritikal kerana sebelum ini hanya memperoleh majoriti 294 undi dalam PRN Johor ke-15 pada 2022.

Namun situasi tersebut tidak melemahkan semangat jentera parti untuk mengusahakan sesuatu yang terbaik bagi menpertahankan kerusi DUN Parit Yaani.

Menurut Mohamd Najib, keyakinan itu terhasil selepas usaha gigih dilakukan sejak 2022 sehingga berjaya menyelesaikan beberapa perkara tertangguh sebelum ini.

Misalnya, kata beliau, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, Jalan Tan Sri Mohamad dan pencahayaan di Jalan Parit Jambi yang akan dipasang dalam masa terdekat ini.

Selain daripada itu, usaha mendekati masyarakat dengan cara bersemuka melalui program turun padang yang dilaksanakan pihaknya dilihat banyak membantu mengembalikan sokongan kepada BN termasuk kira-kira 19,000 pengundi kaum Cina.

“Berbaki empat hari lagi, dengan pelbagai insentif dan program daripada kerajaan negeri Johor sejak dua tahun lalu, saya yakin pengundi akan terus memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui pentadbiran kerajaan,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Najib berkata, gerakan terakhir pihaknya adalah menemui pemimpin berpengaruh di Parit Yaani agar mereka dapat mempengaruhi ahli dalam kumpulan mereka untuk bersama-sama dengan BN.

“Paling penting sekali adalah memastikan semua jentera parti mampu bergerak dengan baik pada Sabtu nanti kerana mereka adalah kumpulan yang akan menentukan kehadiran pengundi di pusat mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast