KUALA LUMPUR – Seorang pelakon drama bergenre kepolisan antara yang ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Raja Chulan, di sini awal pagi tadi.
Tangkapa dilakukan menerusi Op Noda yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurut sumber, tangkapan ke atas pelakon wanita berusia 40 tahun itu yang juga pernah menyertai rancangan realiti nyanyian dilakukan di dalam sebuah bilik VIP bersama beberapa individu lain.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas wanita terbabit mendapati dia disahkan positif dadah amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan didapat gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah,” katanya.
Tambah sumber, dalam serbuan itu pihaknya turut membuat tangkapan melibatkan penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita.
“Semakan lanjut mendapati, premis itu menjual minuman keras tanpa lesen dan kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Dang Wangi.
“Turut difahamkan, ketika serbuan terdapat tangkapan yang mempunyai rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan.
“Saya sahkan (penahanan) dan kes masih dalam siasatan,” katanya secara ringkas ketika dihubungi hari ini. – MalaysiaGazette
















