KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta maut dirempuh sebuah pelbagai guna (MPV) Toyota Innova berwarna merah ketika mengalihkan baldi yang dijadikan tanda amaran di Kilometer 13.0 Lebuhraya Cheras-Kajang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu sebuah Toyota Innova berwarna perak bersama lima penumpang telah memberhentikan kenderaannya di bahu kiri lebuh raya selepas tayar kenderaan itu pancit.
“Selepas selesai menukar tayar, mangsa berjalan ke bahagian belakang kenderaan bagi mengalihkan baldi yang diletakkan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya lain.
“Ketika mangsa sedang mengalihkan baldi berkenaan, sebuah Toyota Innova berwarna merah yanhlg datang dari arah belakang telah melanggar lelaki itu dan terus meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496. – MalaysiaGazette
















