Mohd Fared berucap sebelum merasmikan Forum Hal Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1448H di Masjid Seri Sulong, Taman Seri Sulong, Batu Pahat, Johor pagi tadi.

BATU PAHAT – Tindakan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menjadikan talkin sebagai gimik kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai perbuatan mempersendakan Islam.

Mohd Fared Mohd Khalid yang pernah menjadi Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor sebelum ini menegaskan, talkin ialah peringatan yang dibacakan ketika urusan pengebumian jenazah dan orang yang mendengarnya ialah mereka yang masih hidup sebagai peringatan kepada kedua-dua pihak.

Shamsul Iskandar Mat Akin

“Jadi apabila talkin itu dipermainkan untuk tujuan pilihan raya, soalan pertama saya, dia talkinkan siapa? Tindakan menjadikan talkin itu sebagai permainan (pilihan raya), dia (dikira) mempersendakan Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mohd Fared berucap sebelum merasmikan Forum Hal Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1448H di Masjid Seri Sulong, Taman Seri Sulong, Batu Pahat, Johor pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Hal Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1448H di Masjid Seri Sulong, Taman Seri Sulong di sini pagi tadi.

Semalam, media melaporkan Shamsul Iskandar memuat naik video di Facebook memaparkan beliau membacakan ‘talkin’ khas kepada pengundi Johor.

Dalam gimik berkenaan, beliau menggesa pengundi meminta lebih banyak pemberian sekiranya ditawarkan BN, Perikatan Nasional (PN) atau parti lain.

Antara kandungan yang dibacakan ialah, “Apabila diberi RM100, mintalah RM500. Apabila diberi kopi atau teh, mintalah Milo, susu dan beras untuk keperluan selama sebulan. Namun apabila diminta untuk mengundi mereka, jawablah… kami tetap akan undi Harapan.”

Mohd Fared bergambar bersama peserta Forum Hal Ehwal Islam Sempena Maal Hijrah 1448H di Masjid Seri Sulong, Taman Seri Sulong, Batu Pahat, Johor pagi tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Fared yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah berkata, kenyataan sedemikian turut menimbulkan persoalan dari sudut akhlak dan undang-undang pilihan raya.

“Kalau kita galakkan orang menerima rasuah, bagi RM100 minta RM500, pada saya, kalau pemberian itu ketika tempoh kempen, takut ia tergolong di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Apa maksud dia? Adakah dia suruh orang menggalakkan rasuah politik lebih banyak? Kalau itu niat dia, saya risau ia menyalahi tertib dan akhlak agama,” katanya.

Mohd Fared yang juga Penyandang DUN Semerah turut hairan kerana talkin itu dirakam di hadapan kamera bukan di tanah perkuburan sebagaimana kebiasaan.

“Saya rasa pelik juga sebab talkin selalunya di tanah perkuburan tapi kalau ditalkinkan depan kamera, kamera itu menunjukkan kepada dia, saya rasa ditalkinkan dia dan pasukan dia sendirilah.

“Kalau ditalkinkan Pakatan Harapan (PH) sendiri, kami semua aminkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan semua pihak agar tidak mempermainkan amalan agama demi kepentingan politik.

“Nasihat saya, berhentilah mentalkinkan orang yang tidak betul. Saya pun ada kelemahan, parti saya pun ada kekurangan tapi kita sedar diri ada kelemahan, kemudian kita perbaiki,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast