KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan JB Sentral –Gemas – JB Sentral dan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral pada hujung minggu ini.

Penambahan ini bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan di sektor selatan, khususnya dalam kalangan penumpang untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri
Negeri Johor, Sabtu ini.

Katanya, penawaran tren ETS tambahan ini dibuat selepas tiket tren tambahan yang dijual pada 19 Jun lalu telah habis dijual.

Sehubungan itu, KTMB menambah lagi empat perkhidmatan tren tambahan bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral dan empat perkhidmatan tren tambahan bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral.

Menurut KTMB, penjualan tiket bagi tren tambahan bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral telah dibuka hari ini, Selasa, jam 3 petang, manakala jualan tiket tambahan bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral akan dibuka pada hari Rabu, jam 9 pagi.

Sebanyak empat perkhidmatan tren tambahan bagi kedua-dua laluan akan beroperasi dari 10 hingga 12 Julai 2026, dengan kapasiti 312 tempat duduk bagi setiap perjalanan.

Secara keseluruhannya, KTMB menawarkan 2,488 tempat duduk tambahan sehari, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,464 tiket sepanjang tiga hari pengoperasian.

Inisiatif ini memberi lebih banyak pilihan masa perjalanan kepada pengguna, khususnya para pengundi Negeri Johor yang merancang perjalanan pergi dan balik dari dan ke selatan tanah air dengan lebih selesa, teratur dan lancar.

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan rel, KTMB turut menawarkan tambang promosi sebanyak 20 peratus bagi perkhidmatan ETS tambahan ini melibatkan laluan yang terlibat sepanjang tempoh 10 hingga 12 Julai 2026.

Inisiatif ini diharap dapat memberi penjimatan kepada penumpang, di samping menyokong usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam melalui inisiatif Road to Rail.

Para penumpang juga dinasihatkan supaya tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal bagi memastikan proses menaiki tren berjalan lancar.

Pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast