KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas yang bertanggungjawab mengendali, menyelia dan menjalankan pilihan raya di Malaysia tanpa campur tangan kerajaan atau mana-mana parti politik.
Namun Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempunyai pandangan peribadi berkaitan tarikh hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 11 Julai ini iaitu hari Sabtu.
Beliau berpendapat, SPR sepatutnya memberi waktu yang cukup kepada pengundi untuk keluar datang mengundi dengan mengambilkira jumlah pengundi ramai yang bekerja di Singapura.
“Saya buat berdasarkan kenyataan Menteri Besar Johor, saya berpendapat SPR sebagai badan bebas harus teliti supaya pilihan raya ikut garis demokrasi di mana ruang waktu diberi secukupnya dan hari mengundi orang boleh balik.
“Itu sahaja pandangan kita. Umpamanya pekerja di Singapura ramai, hari Sabtu ramai bekerja separuh hari sebaiknya hari Ahad tetapi SPR sebagai badan bebas dia hendak buat Sabtu juga.
“Itu keputusan dia (SPR), pandangan peribadi, saya tidak bersetuju, apa yang kita lakukan orang datang mengundi, kalau teguran itu, bukan saya campur tangan, saya campur tangan lain keadaannya,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan laporan media mengenai kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri sepanjang kempen PRN Johor.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan ketika berkempen baru-baru ini mempersoalkan penetapan hari pengundian PRN Johor pada Sabtu dan bukan Ahad yang disifatkan sebagai tidak berasas.
Mengulas lanjut, Anwar tidak bercadang menghubungi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mencampuri dalam urusan pengundian di Malaysia
“Hubungan kita dengan Singapura sangat baik dan hubungan baik ini membantu membangunkan kedua-dua negara selain hubungan peribadi dengan Lawrence Wong
“Cuma saya tahu dan mewakili negara, selalunya kita tidak minta mana-mana negara lain campur dalam urusan termasuk pengundian di negara kita.
“Cuma dimaklumkan kepada syarikat-syarikat dimudahkan, ada pilihan raya tidak dipersulit datang mengundi, itu sahaja tetapi saya tidak bercadang hubungi PM Singapura dalam urusan pengundian di Malaysia,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai kesediaan Anwar menguhubungi Lawrence bagi tujuan berkenaan. – MalaysiaGazette
















