KUALA LUMPUR – Empat penjawat awam antara lima individu direman disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM25,000 sebagai balasan membantu mendapatkan kerja perolehan kerajaan di sebuah institusi pendidikan pra-universiti di Perlis yang dianggarkan bernilai RM100,000.
Perintah reman sehingga 10 Julai terhadap kesemua suspek termasuk seorang pemilik syarikat dikeluarkan oleh Majistret Kangar, Mohd Amiruldin Roslan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40-an telah ditahan antara jam 2 dan 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis.

Mereka disyaki meminta dan menerima rasuah itu sebagai balasan membantu sebuah syarikat pembinaan, pembekalan makanan, dan perkhidmatan penyelenggaraan mendapatkan kerja-kerja perolehan kerajaan di institusi tersebut yang bernilai kira-kira RM100,000.
“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2023 hingga 2024.
“Empat suspek sebagai penjawat awam institusi pendidikan itu dipercayai telah menerima wang suapan daripada pemilik syarikat antara RM2,000 hingga RM10,000 bagi setiap projek dengan jumlah keseluruhan projek yang diperolehi adalah sebanyak 16 ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, pihaknya tekad menoktahkan budaya salah guna kuasa dan secara tidak langsung telah melumpuhkan kartel penganugerahan kerja-kerja kepada syarikat kontraktor yang monopoli di institusi pendidikan tersebut. – MalaysiaGazette
















