Pesawat Air Canada

MONTREAL – Air Canada mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi menggantikan Michael Rousseau yang mengumumkan persaraannya susulan kontroversi kerana gagal menyampaikan ucapan takziah dalam kedua-dua bahasa rasmi negara itu, iaitu bahasa Inggeris dan Perancis, selepas satu nahas maut di lapangan terbang.

Syarikat penerbangan nasional Kanada itu memaklumkan, Anko Van der Werff, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Scandinavian Airlines (SAS), akan mengambil alih jawatan tersebut menjelang akhir Januari 2027.

Menurut Air Canada, Van der Werff dipilih selepas melalui proses pencarian global yang menyeluruh.

“Proses pemilihan itu mengambil kira beberapa kriteria prestasi, termasuk keupayaan berkomunikasi dalam bahasa Perancis,” menurut kenyataan syarikat itu.

Selain memegang jawatan CEO, Van der Werff turut akan berkhidmat sebagai presiden serta menganggotai Lembaga Pengarah Air Canada.

Beliau berkata, dia sedar akan kepentingan memberikan perkhidmatan kepada rakyat Kanada dalam kedua-dua bahasa rasmi negara itu.

Rousseau sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila hanya mengeluarkan mesej video dalam bahasa Inggeris bagi menyampaikan ucapan takziah susulan nahas melibatkan pesawat Air Canada dan sebuah trak bomba di Lapangan Terbang LaGuardia, New York, pada 22 Mac lalu.

Kanada mempunyai dua bahasa rasmi, iaitu bahasa Inggeris dan Perancis, manakala salah seorang juruterbang yang terkorban dalam nahas itu berasal dari wilayah Quebec yang majoriti penduduknya bertutur dalam bahasa Perancis.

Rousseau kemudian memohon maaf atas mesej yang hanya disampaikan dalam bahasa Inggeris itu dan mengakui kesal kerana masih tidak mampu bertutur dalam bahasa Perancis walaupun telah mengikuti kelas pembelajaran selama beberapa tahun.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Rousseau ketika itu, sambil menyifatkan mesej yang disampaikan dalam satu bahasa sahaja sebagai tidak wajar.

Air Canada merupakan syarikat penerbangan terbesar di Kanada dan beribu pejabat di Montreal, wilayah Quebec yang majoritinya berbahasa Perancis. Syarikat itu diwajibkan menyediakan perkhidmatan dalam kedua-dua bahasa rasmi negara. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast