KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 Julai hingga 15 Julai 2026 dikekalkan.

Sepanjang tempoh itu, harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing kekal RM4, RM3.37 dan RM3.97 seliter, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, harga minyak mentah di pasaran global terus menyederhana pada minggu terdahulu, didorong oleh pengurangan premium risiko geopolitik, pemulihan aliran bekalan dan peningkatan persaingan harga dalam kalangan pengeluar utama.

Namun, perkembangan terkini di Asia Barat termasuk serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran semalam menunjukkan risiko gangguan terhadap harga dan bekalan masih kekal selagi penyelesaian konflik tidak dimuktamadkan.

“Dalam jangka sederhana, jangkaan lebihan bekalan global susulan pemulihan pengeluaran dan penyederhanaan permintaan dijangka mengehadkan kenaikan harga.

“Namun, sebarang gangguan baharu di laluan perdagangan utama boleh menyebabkan turun naik harga yang ketara,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, harga bahan api bersubsidi juga kekal dengan RON95 (BUD95) dijual pada Harga RM1.99 seliter dan diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter.

Harga petroleum Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan menambah, melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, meskipun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini.

Kata kementerian itu, perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast