KUALA LUMPUR – Kediaman mewah sebagai rumah transit sementara bagi sindiket penyeludupan migrain yang telah beroperasi beberapa bulan lalu berjaya ditumpaskan menerusi serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di sekitar Cap Square Centre, di sini, semalam.
Operasi bermula sekitar jam 12.30 tengah malam itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berdasarkan hasil maklumat awal dan risikan selama sebulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sebanyak dua premis kediaman mewah yang diserbu telah menahan dua lelaki warga Bangladesh dipercayai berperanan sebagai penjaga premis terbabit.
“Pasukan operasi turut menahan enam lelaki dan dua wanita warga Bangladesh yang kesemuanya berusia di antara 23 hingga 43 tahun sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan tahanan adalah 10 orang.
“Semakan awal mendapati, seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembinaan, dua wanita terbabit disenarai hitam oleh JIM namun suspek masuk semula ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.
“Manakala individu lain gagal mengemukakan sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan operasi turut menyita tiga naskhah pasport Bangladesh milik individu lain dan wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil daripada kegiatan tersebut.
“Modus operandi sindiket adalah menjadikan premis kediaman mewah sebagai rumah transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum menempatkan warga asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram dihantar ke lokasi yang ingin dituju.
“Premis itu dikawal oleh penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran selesai dengan kadar bayaran yang dikenakan antara RM700 hingga RM1,500 bagi setiap seorang yang menggunakan perkhidmatan tersebut,” jelasnya.

Zakaria menambah, kedua-dua penjaga premis warga Bangladesh itu ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala warga asing lain disiasat di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu pada hari sama, JIM turut melakukan operasi khas di sekitar Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dan Terminal Bersepadu Gombak (TGB), Selangor yang bermula jam 5.30 petang.
“Hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan, seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ ditahan bersama empat lelaki migrain warga India yang kesemuanya berusia antara 18 hingga 48 tahun yang menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan adalah lima orang.
“Semakan mendapati, seorang daripada lelaki warga India yang ditahan telah disenarai hitam oleh JIM sebelum ini, namun suspek masuk semula ke negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan, manakala yang lain tidak memiliki sebarang Pas atau dokumen perjalanan yang sah,” jelasnya.

Dalam serbuan itu katanya, pasukan operasi telah menyita dua unit telefon bimbit dan empat naskhah paspot India termasuk sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Modus operandi sindiket ini membawa masuk warga asing terutama dari India tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan dan setiap migran dipercayai dikenakan bayaran sebanyak RM6,000 seorang dan kegiatan ini dipercayai beroperasi sejak tahun lalu,” ujarnya.

Susulan itu, ‘transporter’ tempatan yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Sek.26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala warga asing disiasat di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, kesemua tahanan dalam operasi berkenaan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















