KUALA LUMPUR – Pelbagai sisa elektronik (e-waste) dan peralatan pemprosesan dianggarkan bernilai RM2.57 juta berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah kilang di Teluk Panglima Garang, di Kuala Langat, semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Landai sekitar jam 10.30 pagi dilaksanakan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Perbandaran Kuala Langat.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, dalam operasi itu pasukan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang mengaku sebagai penjaga kilang bagi membantu siasatan.
“Terdapat 14 pekerja warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun berada di dalam kilang berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik tanpa dokumen serta permit yang sah.
“Pasukan juga menemukan pelbagai barangan elektronik terpakai, kabel tembaga, bateri, komponen lif, mesin mampatan dan sisa buangan berjadual yang disyaki diproses secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kegiatan pemprosesan e-waste secara haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan awam jika tidak dikawal.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Seksyen 6 (1)(c)Akta Imigresen 1959/63 dan UUK 3 Perlesenan Trade Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kuala Langat,” jelasnya.
Susulan itu katanya, orang ramai diminta terus bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pemprosesan e-waste atau kegiatan lain yang menyalahi undang-undang bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil. – MalaysiaGazette
















