BATU PAHAT – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pengundi Melayu supaya tidak terus menjadi bangsa terendah keluar mengundi.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini kerana berdasarkan rekod pilihan raya lalu peratusan pengundi Melayu yang keluar adalah paling rendah melaksanakan tanggungjawab itu.
“Kalau ikut rekod-rekod yang lepas, peratusan pengundi Melayu yang keluar berbanding dengan bangsa lain adalah yang terendah.
“Maknanya ramai yang tidak keluar mengundi. Jadi saya mohon kerjasama semua yang hadir di sini supaya beritahu saudara-mara, sahabat handai dan rakan-rakan yang layak supaya keluar mengundi,” katanya ketika berucap pada ceramah kempen PN di Parit Raja di sini malam tadi.

Muhyiddin turut menggesa pengundi memberikan sokongan kepada calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Dalam ucapannya, bekas Perdana Menteri itu turut mengingatkan pengundi supaya tidak memberikan kemenangan terlalu besar kepada Barisan Nasional (BN) kerana kerajaan memerlukan semak dan imbang yang berkesan.
Menurutnya, tiada jaminan kerajaan BN akan terus bekerja bersungguh-sungguh sekiranya memperoleh majoriti terlalu besar.
“Apa tujuan kita nak sokong Barisan Nasional? Jangan sokong kerana tidak ada jaminan sebab sekarang orang kata dia boleh menang 40 kerusi.
“Kalau dah menang 40 kerusi, dia berlenggang tangan, tak buat apa-apa pun sebab rakyat dah sokong dan akhirnya tidak ada apa-apa berlaku,” katanya.
Beliau berkata, walaupun PN mungkin tidak berjaya membentuk kerajaan negeri kerana jumlah kerusi ditandingi tidak seperti BN, gabungan itu tetap perlu memenangi kerusi yang mencukupi bagi memainkan peranan sebagai pembangkang yang kuat.
“Kalau tak boleh bentuk kerajaan, kita menjadi pembangkang pengimbang atau check and balance supaya kerajaan yang ada tidak boleh buat sesuka hati.
“Mereka akan dipersoalkan dalam DUN dan rakyat boleh mengetahui bagaimana wang negeri digunakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















