SEGAMAT – Suasana kempen di Segamat semakin rancak menjelang tiga hari lagi sebelum rakyat Johor mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lagi.
Pecutan terakhir calon dengan sesi ceramah berlangsung hampir setiap malam, selain kerap turun bertemu pengundi dari rumah ke rumah.
Malah, kibaran bendera parti-parti politik menghiasi jalan di sini,
Namun di sebalik kemeriahan itu, masih ramai pengundi mengakui belum membuat keputusan muktamad siapakah calon yang benar-benar layak diberikan mandat dan parti mana dapat membentuk kerajaan negeri.
Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa kawasan sekitar Segamat mendapati sebahagian besar pengundi masih menilai kredibiliti setiap calon sebelum memangkah kertas undi pada Sabtu ini.

Bagi pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Noraini Muhammad, 50, berkata, keadaan ekonomi ketika ini menyebabkan dia masih berbelah bahagi untuk menentukan pilihan.
“Saya masih tak tahu nak pilih siapa. Yang sebelah sini cakap macam ini, pembangkang pula cakap macam itu.
“Jadi saya masih dalam dilema kerana belum tahu siapa yang benar-benar boleh tunaikan apa yang dijanjikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette
Namun ujarnya apa yang paling penting bukan lagi janji baharu, sebaliknya memastikan segala janji lama ditunaikan.
“Kalau boleh semua janji perlu ditepati. Janji yang dulu-dulu pun tolong tunaikan, dengar keluhan kos sara hidup rakyat.
“Harga barang sekarang terlalu mahal. Kami sudah tak berdaya. Minta kerajaan kawal harga barang sebab kos sara hidup semakin tinggi.
“Dulu bawa RM50 macam-macam boleh beli, sekarang dengan jumlah itu dapat seekor ayam dan sedikit ikan sahaja,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Nor Fitrah Nor Sahlan, 33, juga belum yakin untuk memilih mana-mana calon kerana sukar membezakan janji yang benar-benar mampu dilaksanakan.
“Saya tak tahu lagi nak pilih siapa. Takut pilih yang ini tak betul, pilih yang sana pun tak betul. Sebenarnya saya nak tengok siapa yang betul-betul boleh laksanakan apa yang dijanjikan.
“Setakat ini saya tengok wakil rakyat yang ada masih mudah didekati dan ada buat kerja, tetapi bila dalam masa sama harga barang semakin tinggi sampai rasa nak pengsan bila pergi beli barang dapur.
“Jadi saya harap siapa pun yang menang nanti, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah harga barang,” katanya.

Bagi seorang lagi pengundi dari Pekan Jabi yang hanya mahu dikenali sebagai Dee, 60, dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan dan akan menggunakan baki tempoh berkempen untuk menilai semua tawaran yang dikemukakan.
“Saya belum boleh pilih mana-mana lagi. Masih fikir-fikir.
“Sekarang saya tak tengok sangat calon sebab bagi saya semua nampak sama sahaja. Saya lebih nak tengok manifesto dan apa yang mereka tawarkan kepada rakyat.
“Mungkin pagi hari mengundi nanti baru saya buat keputusan, pagi-pagi kita fikir kemudian tengah hari saya pergi mengundi,” katanya sambil tertawa.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada semalam selepas proses penamaan calon selesai 27 Jun lalu.
Enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Segamat PRN Johor Ke-16 dengan Barisan Nasional (BN) berdepan misi mempertahankan lima kerusi dimenangi pada 2022, manakala Pakatan Harapan (PH) berusaha mengekalkan kubu tunggalnya di Jementah.
Di DUN Buloh Kasap, penyandang Datuk Zahari Sarip (BN) kemenangan dengan majoriti 5,377 undi pada PRN lalu, akan dicabar Noraziah Mohd Razit (PH
DUN Jementah apabila penyandang Ng Kor Sim (PH) dengan kemenangan tipis 714 undi, sekali gus menjadikan saingan tiga penjuru bersama See Ann Giap (BN) dan Saifullah Abdul Wahab (PN)
Di DUN Pemanis, penyandang Anuar Abd Manap (BN) majoriti 4,187 undi berdepan cabaran muka baharu PH, Jalex Lee En Xiang, serta Dr. A. Ariventharan (PN) dalam persaingan tiga penjuru.
Manakala di DUN Kemelah turut berpotensi menjadi kerusi panas apabila K. Raven Kumar (BN) dicabar Mohd Afif Abd Hamid (PH) dan Uzzair Ismail (PN).
Sementara itu di DUN Tenang, pertandingan empat penjuru membabitkan Mohd Azahar Ibrahim (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Normala Sudirman (PN) dan calon Bebas, Siti Aisyah Zobir, dijangka sengit selepas BN menang dengan majoriti 1,736 undi pada pilihan raya lalu.
Bagi DUN Bekok, penyandang Tan Chong (BN) dengan kemenangan majoriti 3,569 undi, berdepan tentangan Tay Yok Jiuen (PH) dalam saingan satu lawan satu. – MalaysiaGazette
















