Bekas Pengurus Petronas, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, hadir bagi prosiding perbicaraan kes didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit syarikat itu kepada Petros, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu seorang pengurus kanan Petronas telah menerima aduan berhubung tindakan bekas pengurus syarikat yang sama, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni yang didakwa menghantar maklumat sulit berkaitan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Petrol Sarawak Berhad (Petros).

Pengurus Kanan Complaint Management (CM) Petronas, Lailatul Badriah Razali, 45, menerima aduan daripada pengadu whistleblower menerusi e mel saluran Petronas Whistleblowing (WB) pada 6 Disember 2024 sekitar 10 pagi.

“Mengikut kandungan aduan yang diterima melalui e-mel itu, pengadu memberitahu, Mohd Khairul Akmal telah menghantar maklumat sulit berkaitan prestasi suku pertama tahun 2024 bagi Upstream Business milik Petronas melalui e-mel peribadinya kepada pihak Petros.

“Maklumat itu dihantar kepada dua alamat e-mel iaitu [email protected] [email protected] pada 8 Jun 2024 namun aduan tersebut hanya diterima oleh pihak kami pada 6 Disember tahun sama.

“Sebelum tarikh itu, kami tidak pernah menerima sebarang aduan yang serupa termasuk pada bulan Jun 2024,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan Mohd Khairul Akmal yang berdepan pertuduhan cuba mendedahkan laporan sulit Petronas kepada Petros pada Jun 2024.

Tambah saksi pendakwaan keempat itu, selepas menerima tersebut dia terus membawa perkara itu kepada Chief Integrity Officer (CIO), Mohamad Zakkuan Talib selaku Pengerusi Whistleblowing Committee.

“Setelah semakan dibuat oleh beliau (Mohamad Zakkuan) memutuskan supaya aduan itu dirujuk kepada pihak Human Resource – Industrial Relations (HR-IR) untuk tujuan siasatan lanjut.

“Susulan arahan tersebut, saya telah menghantar e-mel kepada Wardati dan Jumsuri merupakan pasukan siasatan pada 6 Disember 2024 sekitar 12.36 tengah hari,” jelasnya ketika pemeriksaan utama dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan.

Noor Syafina: Dalam kandungan e-mel ini (kepada Mohamad Zakkuan), Puan (Laila Badriah) ada menyebut based on the WB secretariat assessment it was found that the complainant initially submitted the same complaint on June 8 2024, but recalled the email prior to the case registration by the secretariat. Apa maksud puan?

Laila Badariah: Dalam e mel yang diterima daripada pengadu, e mel asal menunjukkan ia telah dihantar pada 8 Jun namun pihak kami hanya menerima e-mel ini pada 6 Disember dan bukan pada 8 Jun sebab kalau ikutkan di dalam itu (rekod e mel) tertera dia dah recall (tarik balik).

Ketika disoal balas oleh peguam, Louis Liaw Vern Xien yang mewakili Mohd Khairul Akmal, saksi keempat itu berkata, dia tidak bertanya kepada pengadu mengapa aduan pada 8 Jun ditarik balik.

Kemudian, Laila Badriah turut bersetuju dengan peguam berkenaan bahawa aduan tersebut sepatutnya dibuat pada Jun 2024 bukan beberapa bulan selepas itu.

Untuk rekod, Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu satu dokumen bertajuk Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial kepada PETROS yang telah diperolehnya ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang di sini antara 3.19 petang hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga setahun, manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1) jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid hari ini kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22, 23, 24 dan 25 September depan yang turut melibatkan lima lagi saksi pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast