KUALA LUMPUR – Salah faham dipercayai menjadi punca tercetusnya pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah kafe di Bandar Sunway, Subang Jaya, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 6.16 pagi.
“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan kumpulan lelaki yang berada di lokasi itu sebelum berlakunya pergaduhan.
“Akibat kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital.
“Polis juga menjalankan pemeriksaan menyeluruh di tempat kejadian, merakam percakapan saksi kejadian serta memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, pihaknya sedang berusaha mengesan dan menahan suspek yang terbabit sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau apa-apa objek yang digunakan sebagai senjata.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan sikap toleransi, mengawal emosi dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan pergaduhan atau mengganggu ketenteraman awam,” jelasnya.
Beliau juga meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berhubung kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta tidak menjejaskan siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222. – MalaysiaGazette















