Datuk Amizar Abu Adam

KUANTAN – Bahang politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memperlekeh atau melabel warga FELDA secara semberono.

Itu amaran tegas Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam  susulan dakwaan tular berbaur penghinaan  kepada segelintir warga Felda selepas insiden ketika Sambutan Hari Peneroka Felda Ke-70 di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka pada Selasa lalu.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar seperti yang dilaporkan, kenyataan sedemikian amat dikesali kerana bukan sahaja bersifat menghina malah mencalar maruah sebuah komuniti yang selama lebih tujuh dekad menjadi antara tulang belakang pembangunan negara.

“Warga Felda datang daripada pelbagai latar belakang dan pegangan politik. Mereka mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan serta reaksi masing-masing selaras dengan prinsip demokrasi.

“Tetapi tindakan segelintir individu tidak boleh dijadikan alasan untuk melabel atau menghina keseluruhan warga Felda dengan ungkapan yang merendahkan maruah mereka,” katanya.

Menurutnya  pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak adil malah berisiko mengguris hati peneroka serta generasi Felda di seluruh negara yang selama ini banyak berkorban membangunkan tanah rancangan.

Katanya, ahli politik daripada mana-mana parti perlu lebih beradab dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan terutama apabila melibatkan komuniti Felda.

“Perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam demokrasi tetapi maruah warga Felda bukan bahan untuk dijadikan modal politik atau sasaran cemuhan.

“Hormatilah jasa dan pengorbanan komuniti Felda yang telah menyumbang besar kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan  peneroka dan generasi Felda bukan kelompok yang wajar dipandang rendah hanya kerana perbezaan pendapat atau reaksi terhadap sesuatu isudan mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan masyarakat sebaliknya mengutamakan perpaduan serta saling menghormati.

“Berbeza parti tidak bermakna boleh hilang adab. Apa juga fahaman politik, maruah warga Felda mesti dipelihara, dihormati dan tidak dijadikan sasaran penghinaan oleh mana-mana pihak,” tegasnya.

Kenyataan itu hadir ketika isu berhubung insiden pada Sambutan Hari Peneroka Felda Ke-70 di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi daripada warga peneroka dan generasi Felda di seluruh negara.

Tambah Amizar, warga FELDA sentiasa terbuka menerima perbezaan pandangan yang disampaikan secara matang dan beradab.

Terdahulu  Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang,  Norman Daud menggelar segelintir warga haram jadah Felda susulan insiden Perdana Menteri ‘di boo’ ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun Felda pada kelmarin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast