Gambar hiasan

PIALA Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada telah memasuki fasa paling mendebarkan di mana negara-negara terbaik dunia sedang berentap bagi terus menghidupkan impian mereka merangkul piala berprestij yang menjadi rebutan setiap empat tahun.

Peringkat kalah mati kini menyajikan aksi penentuan untuk mereka terus mara ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan ke pentas teragung yang menjadi impian setiap yang pernah menyarung seragam bola sepak. Di Malaysia, denyut kemeriahan itu dapat dirasakan di kedai-kedai mamak, di pejabat, ruang tamu dan juga di media sosial di mana jutaan peminat tidak melepaskan peluang berkongsi sokongan dan pendapat bagi setiap perlawanan.

Namun, di sebalik kemeriahan ini, umum sering terlepas pandang suatu industri yang turut sama rancak samada meraikan atau mencemuh jaringan yang dihasilkan. Malah, tanpa ramai menyedarinya, industri ini dilaporkan sedang mengutip puluhan bilion dolar sepanjang tempoh pusingan kumpulan Piala Dunia. Inilah industri judi sukan.

Kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti judi atas talian sempena Piala Dunia 2026 bukanlah sesuatu yang bersifat spekulatif. Di Malaysia, sejak temasya bermula, pihak polis telah melaksanakan beberapa siri serbuan berskala besar yang mendedahkan skala aktiviti pertaruhan bola sepak. Pada 29 Jun lalu, menerusi Op Soga XI yang dijalankan di seluruh negara, seramai 331 individu ditahan dengan nilai transaksi pertaruhan yang melebihi RM2.63 juta.

Kes-kes tersebut melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pertaruhan 1953, termasuk menjalankan premis pertaruahn, bertindak sebagai bookie dan mempromosikan aktiviti perjudian tidak berlesen. Malah, siasatan turut diperluaskan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), menggambarkan kegiatan ini bukan sekadar perjudian biasa, namun berpotensi melibatkan kenayah kewangan lebih kompleks.

Sebuah lagi serbuan pada 30 Jun membawa kepada penahanan 32 warga China yang disyaki berperanan sebagai pengendali pusat operasi pertaruhan dalam talian. Terkini, pada 6 Julai, sebuah lagi sebuan telah dilakukan ke atas sebuah premis disyaki mengendalikan sindiket pertaruhan dalam talian. Siasatan awal mendapati premis ini mula beroperasi sejak pertengahan Jun, seiring bermulanya kejohanan Piala Dunia.

Siri serbuan ini memperlihatkan sisi gelap bagaimana pertumbuhan pesat aktiviti perjudian meningkat seiring keasyikan temasya Piala Dunia. Pastinya, kecanggihan teknologi digital dan kemampuan mengakses data secara atas talian menjadi satu cabaran baharu buat pihak berkuasa dalam membendung kegiatan tidak bermoral tersebut.

Mengapa judi tidak dibenarkan? Kesan perjudian bola sepak sebenarnya jauh melangkaui kerugian wang yang dialami oleh individu. Ketagihan berjudi boleh menjerumuskan individu ke dalam kitaran hutang, menjejaskan keharmonian keluarga, mengurangkan produktiviti di tempat kerja serta meningkatkan masalah kesihatan mental akibat tekanan untuk menampung kerugian. Dari sudut ekonomi pula, perjudian tidak mencipta nilai baharu seperti pelaburan atau perniagaan, sebaliknya sekadar memindahkan kekayaan daripada pihak yang kalah kepada pihak yang menang dan pengendali perjudian.

Lebih membimbangkan, industri perjudian haram sering dikaitkan dengan jenayah terancang seperti pengubahan wang haram, penggunaan akaun keldai dan rangkaian sindiket rentas sempadan, sekali gus membebankan usaha penguatkuasaan serta menjejaskan imej negara. Justeru, perjudian bola sepak bukan sekadar isu pilihan peribadi, tetapi merupakan cabaran sosial, ekonomi dan tadbir urus yang memerlukan kesedaran serta tindakan bersama daripada semua pihak

Dalam konteks Malaysia, jika disebut sahaja tentang pertaruhan bola sepak, ia pastinya membawa memori hitam apabila Liga Bola Sepak Malaysia pernah hampir lumpuh oleh skandal rasuah pada tahun 1994. Ramai pemain, pegawai dan individu penting dalam ekosistem bola sepak telah dikenakan tindakan penggantungan selepas siasatan mendapati pengaruh sindiket bookie telah meresapi liga tempatan. Skandal mengatur perlawanan ini tercetus kerana wujudnya permintaan daripada sindiket perjudian yang sanggup membayar sejumlah wang bagi memastikan keputusan perlawanan memihak kepada pertaruhan mereka.

Apabila keputusan perlawanan boleh diatur, sukan tidak lagi menjadi medan persaingan yang adil, tetapi sekadar alat untuk mengaut keuntungan haram. Mangsa sebenar bukan sahaja pemain, keluarga mereka dan pasukan, tetapi juga jutaan penyokong yang meletakkan kepercayaan kepada integriti permainan.

Dalam satu sesi perkongsian yang dikendalikan penulis awal Januari lalu, penulis diajukan satu persoalan menarik. Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam bertanya, apakah pertaruhan bola sepak masih dikira sebagai suatu perjudian sekiranya ramalan keputusan itu dibuat berpandukan kajian analisa melibatkan statistik dan prestasi pemain, rekod perlawanan dan pelbagai lagi data? Bukankah ia kini sama sahaja seperti pelaburan saham yang berpandukan data dan indikasi pasaran? Dalam erti kata lain, sekiranya elemen nasib
telah dibasmi dengan cara membuat keputusan berpandu analisa, mengapa pertaruhan bola sepak masih dikira sebagai judi?

Dalam menjawap soalan ini, penting untuk ditekankan bahawa penentuan samada sesuatu aktiviti itu bersifat perjudian atau tidak, bukan hanya ditentukan oleh faktor ‘nasib’. Benar, elemen nasib sering dijadikan kayu ukur dalam penentuan judi dan ia mungkin sesuai jika aktiviti yang dinilai adalah aktiviti bersifat perjudian loteri, teka nombor ekor atau mesin slot. Namun, di era moden ini, terdapat variasi perjudian yang dihasilkan, dan berpegang kepada tanggapan bahawa aktiviti judi adalah bersifat bergantung kepada ‘nasib’ semata-mata, boleh membawa kekeliruan.

Hakikatnya, jika diambil judi bola sepak sebagai contoh, terdapat pelbagai syarikat yang menyediakan data dan rujukan analisa bagi membantu penjudi membuat satu-satu keputusan yang lebih sistematik dan bersasar, skaligus mematikan hujah bahawa keputusan perjudian mereka adalah bergantung hanya kepada nasib. Lalu, apakah judi bola sepak berdasarkan analisa bukan lagi sebuah pertaruhan?

Penentuan tentang samada sesebuah aktiviti itu bersifat perjudian atau tidak, boleh dilakukan dengan menilai hasil yang diterbitkan aktiviti itu. Dalam konteks ini, perjudian tidak mencipta kekayaan baharu; ia hanyalah bersifat memindahkan kekayaan dari yang kalah kepada yang menang, manakala pengendali perjudian memperoleh keuntungan hampir setiap masa melalui margin yang ditetapkan.

Ini pastinya berbeza dengan pelaburan atau aktiviti ekonomi di mana penglibatan dalam aktiviti sebegini dapat menghasilkan nilai baharu dan membugar ekonomi. Perjudian ialah permainan jumlah sifar yang sangat berpotensi menjadi ‘negative-sum game’ selepas diambil kira komisen dan keuntungan operator.

Oleh itu, semakin besar industri perjudian, semakin banyak sumber kewangan masyarakat yang mengalir keluar daripada aktiviti ekonomi produktif kepada aktiviti yang tidak menghasilkan nilai tambah. Inilah kriteria paling tepat membezakan antara sesebuah aktiviti perjudian dan pelaburan.

Tuntasnya, pelaburan yang sihat mewujudkan nilai kepada ekonomi, manakala perjudian mewujudkan insentif untuk memanipulasi keputusan. Apabila keuntungan bergantung kepada hasil sesuatu perlawanan, maka lahirlah ruang kepada rasuah, pengaturan perlawanan dan penyalahgunaan kuasa.

Biarlah Piala Dunia diraikan kerana keindahan taktikal, semangat kesukanan dan penyatuan manusia daripada pelbagai bangsa. Jangan sampai pesta bola sepak yang menyatukan dunia menjadi medan yang menguntungkan sindiket perjudian. Kemenangan sebenar bukanlah apabila ramalan kita tepat atau keuntungan kita berganda, tetapi apabila kita mampu menikmati sukan tanpa menggadaikan integriti, kewangan dan nilai kehidupan.

Dr. Ahmad Fawwaz Mohd Nasarudin
Ketua Jabatan Kewangan,
Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast