LONDON – Manchester United dilapor mencapai persetujuan dengan Chelsea untuk membawa masuk perancang tengah muda Brazil, Andrey Santos bagi mengharungi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), lapor Fabrizio Romano.
Pakar perpindahan bola sepak dunia itu berkata, pemain berusia 22 tahun itu akan berpindah ke Old Trafford dengan nilai perpindahan awal sebanyak £48 juta.
“Kehadirannya berserta tambahan £2 juta dalam bentuk bonus prestasi serta klausa penjualan semula sebanyak 10 peratus.
“Langkah memburu Santos dipacu oleh pengendali baharu Manchester United, Michael Carrick bagi mengisi kekosongan jentera tengah selepas perpindahan Casemiro dan kecederaan lutut serius yang menimpa Manuel Ugarte ketika beraksi di Piala Dunia bersama Uruguay,” lapor di media sosial miliknya.
Santos menyertai Chelsea dari Vasco da Gama pada 2023 sebelum ini banyak menghabiskan kariernya sebagai pemain pinjaman di Nottingham Forest serta Strasbourg.
Namun dia mula mendapat tempat di Stamford Bridge musim lalu dengan mengumpul 43 penampilan dan meledak tiga gol.
Biarpun mempamerkan prestasi konsisten pemain itu terpaksa akur apabila tidak disenaraikan dalam skuad Brazil ke Piala Dunia 2026 oleh Carlo Ancelotti.
Santos dijadualkan menjalani ujian perubatan di Carrington sebelum diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu The Red Devils.
Dia dijangka bergandingan bersama rakan senegaranya, Ederson yang turut bakal melengkapkan perpindahan dari Atalanta. – Agensi
















