Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah membuat laporan polis berhubung kekeliruan yang tular berhubung Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Semenyih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh berkata, laporan itu dibuat bagi mengekang penyebaran maklumat yang tidak sahih.

Baru-baru ini Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard mendakwa sebuah syarikat mengurus pengebumian bukan Islam mendapat hak bersama JWP untuk perjanjian urus tapak perkuburan Wilayah Persekutuan.

Beliau turut mengaitkan tentang seorang pemimpin politik yang turut meraih keuntungan hasil daripada perjanjian tersebut.

Dalam satu kenyataan, Hannah berkata, Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Mukim Hulu Semenyih, Selangor merupakan inisiatif yang telah dirancang sejak 2005 bagi memenuhi keperluan tapak perkuburan umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Semenyih.

Projek tersebut itu jelasnya, bukan sahaja memenuhi keperluan warga Kuala Lumpur, malah 10 peratus daripada kapasiti tapak perkuburan turut diperuntukkan untuk pengebumian penduduk sekitar di Selangor.

“Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan tersebut memberi manfaat bersama kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Katanya, kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur telah melebihi 70 peratus penggunaan dan sehingga Jun 2023, hanya kira-kira 29 peratus atau 34,496 lot masih berbaki dan dijangka mampu menampung keperluan sehingga sekitar tahun 2032.

Lantaran itu, penyediaan tapak perkuburan baharu disifatkan sebagai keperluan mendesak bagi menjamin kebajikan umat Islam pada masa hadapan.

Menurut beliau, projek tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan seluas 332.6 ekar.

“Pemaju akan menanggung sepenuhnya kos penyediaan infrastruktur termasuk kuarters, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas, rumah pengawal serta kerja-kerja tanah bagi menyediakan 104,470 plot perkuburan Islam untuk Kuala Lumpur.

“Tanah tapak projek kekal menjadi milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, manakala pengurusan, pentadbiran dan operasi tanah perkuburan itu kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bukannya diuruskan oleh mana-mana syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah menjelaskan, kos pembinaan jalan pintas sepanjang 4.3 kilometer dari Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK berjumlah RM93.89 juta tidak ditanggung kerajaan.

Sebaliknya, kos tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pemaju sebagai syarat pembangunan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Jelasnya, pembinaan jalan pintas itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik selain menyediakan laluan alternatif yang lebih lancar kepada penduduk setempat.

Beliau turut menegaskan projek berkenaan telah melalui penilaian teknikal, proses penarafan nilai serta memperoleh kelulusan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Setiap keputusan dibuat berlandaskan kepentingan awam bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di samping menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk generasi akan datang,” menurut beliau lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast