BEIJING – Hampir 200 anggota bomba dan penyelamat dikerahkan untuk memadamkan kebakaran di sebuah kilang kasut di timur China dan ada mangsa dilaporkan masih terperangkap beberapa jam selepas api mula marak.
Menurut Kementerian Pengurusan Kecemasan China, kebakaran tercetus kira-kira tengah hari waktu tempatan di kilang Huiteng Shoes di bandar Jinjiang, wilayah Fujian.
Difahamkan kebakaran berkenaan mengakibatkan kemalangan jiwa, namun jumlah mangsa yang terlibat belum didedahkan.
Rakaman secara langsung yang disiarkan penyiar rasmi China, CCTV, menunjukkan beberapa jentera bomba menyembur air ke arah bangunan bertingkat yang rentung, manakala asap kelabu tebal terus keluar melalui tingkap yang pecah.
Menurut kementerian itu, operasi memadam kebakaran masih diteruskan dengan semua agensi berkaitan diarahkan menggembleng sepenuh tenaga untuk mengawal kebakaran, mencari mangsa yang masih terperangkap dan memberikan rawatan kepada mereka yang cedera.
“Kami juga mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran, mengambil iktibar daripada insiden ini serta melaksanakan langkah berkesan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” menurut kenyataan kementerian itu.
Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan beberapa individu masih terperangkap di dalam bangunan dan mereka gagal dihubungi.
China melancarkan kempen besar-besaran bagi menangani risiko kebakaran di bangunan tinggi pada November tahun lalu selepas kebakaran besar melibatkan beberapa blok menara di Hong Kong yang mengorbankan 168 nyawa.
Sebulan kemudian, kebakaran di sebuah bangunan kediaman di wilayah Guangdong, selatan China, meragut 12 nyawa. – Agensi
















