KUALA LUMPUR – Seramai 96,013 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 seorang pada tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM14.4 juta bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, daripada jumlah itu seramai 52,810 pelajar Tingkatan Enam baharu yang mendaftar pada 8 Jun lalu akan menerima bantuan tersebut di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) di seluruh negara.
Menurut KPM, agihan BAP kepada pelajar Tingkatan Enam baharu dilaksanakan oleh pihak PTE bermula 28 Jun hingga 27 Julai ini.
“Pelaksanaan itu diteruskan selaras dengan kelulusan peluasan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam yang mula diperkenalkan pada tahun 2025.
“Secara keseluruhan, seramai 96,013 pelajar Tingkatan Enam termasuk pelajar baharu dan sedia ada telah dan akan menerima BAP pada tahun 2026 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM14,401,950,” menurut kenyataan itu.
KPM berkata, peluasan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga bagi membuat persediaan keperluan persekolahan.
Pada masa sama, inisiatif berkenaan turut membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam sebagai antara laluan pendidikan prauniversiti negara. – MalaysiaGazette
















