KULAI –
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan terhadap pihak yang menggantung poster dan kain rentang memaparkan wajah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, tindakan menggunakan imej kedua-dua tokoh itu dalam kempen PRN Johor adalah keterlaluan dan dipercayai bertujuan menghasut serta mempengaruhi persepsi rakyat.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang berkata, Najib dan Rosmah tidak mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, pendekatan sedemikian mencerminkan budaya politik yang tidak sihat dan tidak matang.
“Kita hendak memilih kerajaan negeri, jadi fokuslah kepada isu dan masa depan Johor. Sebaliknya, mereka membawa isu lain serta mengaitkan individu yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan PRN Johor.
“Ini adalah cubaan melakukan propaganda dengan mengaitkan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah. Ia jelas menunjukkan sikap terdesak pihak tertentu,” katanya kepada pemberita di Bandar Putra, di sini, pada Khamis.
Shahaniza berkata, tindakan menggantung poster dan kain rentang berkenaan di kawasan terbuka yang menjadi laluan orang awam juga disifatkan melampaui batas.
“Tidak kiralah siapa yang melakukannya, saya fikir tindakan tegas perlu diambil supaya perkara ini tidak berlarutan. Mereka tidak boleh melakukan provokasi yang pada pandangan saya sudah melampaui batas etika berkempen.
“Saya berharap SPR mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab. Sepatutnya kita berkempen dengan mengetengahkan kekuatan, rekod dan tawaran kepada rakyat, bukannya memainkan sentimen yang boleh menimbulkan prasangka serta persepsi negatif dalam kalangan pengundi,” katanya.
Beliau turut menegaskan, sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir semula Johor, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung pembebasan Najib.
Semalam, Rosmah dalam satu kenyataan mengecam keras tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang menyebarkan poster menggunakan wajah dan imejnya untuk tujuan kempen PRN Johor.
Rosmah menegaskan, Kor Ming yang juga seorang menteri seharusnya menunjukkan contoh politik matang dan bukan menyebarkan bahan fitnah serta manipulasi. – MalaysiaGazette
















