MUAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru orang Melayu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu ini, bagi memastikan kuasa politik orang Melayu dan umat Islam terus kukuh.
Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung gesaan 134 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina supaya pengundi masyarakat itu pulang mengundi pada PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Sedangkan, dalam masa sama, ujarnya, masih ramai pengundi Melayu-Islam yang tidak mahu keluar mengundi.
“Kalau orang bukan Islam keluar mengundi, mereka akan menguasai politik. Jika kita tidak keluar mengundi, kuasa politik akan hilang. Kuasa politik penting untuk orang Islam. Oleh itu, saya mengambil pendekatan mengajak orang Islam bersatu.
“Kita juga mengajak orang bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama. Yang ekstrem itulah yang kita hadapi,” katanya ketika berucap program Ceramah Grand Finale Pas sempena PRN Johor di Simpang Jeram, di sini malam tadi.

Sementara itu, Abdul Hadi menyifatkan PRN Johor penting bagi meyelamatkan kuasa politik orang Melayu dan umat Islam yang merupakan kaum majoriti di negara ini.
Dalam masa sama, katanya, Pas menyedari parti itu tidak kuat di Johor, justeru sanggup menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kelangsungan politik Melayu-Islam di negeri tersebut.
“Itulah sebabnya kita juga sanggup bekerjasama dengan MCA dan MIC yang tidak ekstrem.
“Parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), termasuk parti Melayu dalam PH, tidak memahami perkara ini. DAP mahu melaksanakan konsep `Malaysian Malaysia’,” katanya.
Tambah Abdul Hadi, ramai dalam kalangan orang Cina dan India juga tidak mempunyai pendekatan ekstrem dan perkara itu dibuktikan apabila DAP ditolak di Sabah.
“Kalau orang Cina di Sabah boleh menolak DAP, mengapa orang Cina di Johor tidak boleh berbuat demikian? Orang India juga sama,” katanya. – MalaysiaGazette
















