Gambar Arkib MG

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa semua majikan supaya memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang layak mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, SPR mengambil maklum kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan terdapat majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka keluar mengundi pada hari pengundian Dewan Negeri Johor Ke-16.

Sehubungan itu, SPR meminta semua majikan memberi ruang kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada 11 Julai ini.

Majikan juga diingatkan supaya mematuhi Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] yang memperuntukkan kewajipan memberikan tempoh munasabah kepada pekerja yang merupakan pemilih berdaftar untuk mengundi.

“Majikan tidak dibenarkan membuat sebarang potongan gaji atau saraan lain, mahupun mengenakan apa-apa penalti terhadap pekerja atas sebab mereka menunaikan tanggungjawab mengundi,” menurut kenyataan itu.

SPR berkata, mana-mana majikan yang, secara langsung atau tidak langsung, enggan memberikan tempoh yang munasabah atau menghalang pekerja daripada mengundi adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan, majikan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh satu tahun.

SPR turut berharap semua majikan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses pengundian berlangsung lancar, di samping menggalakkan kadar keluar mengundi yang tinggi pada PRN Johor Ke-16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast